Malaysia Oversight

Alam Flora perkenal ‘Glutton Electric Litter Picker’

By Utusan in August 1, 2025 – Reading time 2 minute
alam flora


PETALING JAYA: Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora), anak syarikat Malakoff Corporation Berhad (Malakoff), terus memperkukuh komitmennya dengan melancarkan Glutton Electric Vacuum Litter Picker, mesin pembersih jalan moden yang 100 peratus menggunakan tenaga elektrik.

Inisiatif ini selaras dengan Pelan Induk Ekonomi Kitaran 2025–2035 oleh Kementerian Pembangunan Tempatan (KPKT), khususnya di bawah teras infrastruktur hijau dan integrasi teknologi, sekaligus menjadi sebahagian daripada usaha berterusan Alam Flora dalam memperkukuh agenda ekonomi kitaran di Malaysia.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh  Pengerusi SWCorp, Hee Loy Sian, bersama Ketua Pegawai Operasi Alam Flora, Mohamad Muhazni Mukhtar di Jalan
Alor, Bukit Bintang baru-baru ini.

“Penggunaan teknologi hijau seperti mesin Glutton bukan sahaja mampu meningkatkan kecekapan operasi pembersihan di kawasan bandar, malah ia secara langsung mencerminkan komitmen dan tanggungjawab kami terhadap pemeliharaan alam sekitar serta usaha berterusan untuk memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” ujar Mohamad Muhazni.

Mesin ini direka untuk membersihkan kawasan tumpuan awam seperti Jalan Alor, Masjid India dan Dataran Merdeka dengan lebih cekap dan senyap (bawah 60 dB). Ia mampu beroperasi sehingga 16 jam menggunakan bateri boleh dicas semula dan dilengkapi dengan:

• Sistem sedutan berkuasa tinggi
• Kapasiti tong sisa 240 liter
• Penapis habuk ISO5011 (menapis 99.96% zarah halus)
• Lampu keselamatan LED dan penggera undur untuk keselamatan
• Rekaan ergonomik dan kawalan joystick untuk keselesaan pengguna

Chasis berketinggian 20cm dari permukaan tanah menjadikan mesin ini stabil dan mudah dikendalikan di kawasan bertingkat atau berbukit. Pengecas pintar terbina dalam memudahkan pengecasan semasa operasi, manakala meter bateri membolehkan pemantauan tenaga secara masa nyata.

alam flora 2
Glutton Electric Vacuum Litter Picker, mesin pembersih jalan moden yang 100 peratus menggunakan tenaga elektrik.

Penapis udara dan panel penyelenggaraan mudah diakses tanpa memerlukan alatan rumit, menjimatkan masa dan kos operasi.

Penggunaan mesin vakum elektrik Glutton ini, sejajar dengan usaha Alam Flora untuk mencapai pelepasan sifar karbon, meningkatkan kebersihan ruang awam serta mempertingkatkan produktiviti kerja lapangan.

Inisiatif ini adalah merupakan sebahagian daripada tonggak perniagaan Malakoff, aspirasi Penyelesaian Alam Sekitar Malakoff untuk memberi tumpuan kepada pengurusan alam sekitar dan penyelesaian yang didedikasikan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan planet ini.

Ia juga selaras dengan Matlamat SDG PBB No. 11 di mana ia bertujuan untuk menjadikan bandar dan penempatan manusia inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan serta menyokong tujuan menyeluruh Malakoff iaitu ‘Enhancing Life, Enriching Communities’.

Sempena sambutan ulang tahun ke-50 Kumpulan Malakoff pada tahun ini, inisiatif ini turut mencerminkan komitmen berterusan Kumpulan dalam memacu impak yang bermakna, bukan sahaja melalui kecemerlangan operasi, malah melalui usaha kelestarian jangka panjang dan pembangunan komuniti. – UTUSAN





Source link