Malaysia Oversight

Aktivis Orang Asli mahu butiran konkrit, libat urus

By MkiniBM in August 3, 2025 – Reading time 3 minute
malaysiakini logo


Aktivis Orang Asli menuntut butiran yang konkrit serta penglibatan pihak berkepentingan berhubung rancangan memperbaiki kebajikan komuniti tersebut di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

Pengasas Centre for Orang Asli Concerns (COAC), Colin Nicholas, memberitahu Malaysiakini pengumuman Perdana Menteri Ibrahim tidak membawa sebarang perkara baru berbanding apa yang dibincangkan sejak beberapa bulan lalu.

“Apa yang boleh dianggap sebagai baru ialah memberitahu kami secara jelas apa yang akan diubah atau dipinda, bukan sekadar berkata mahu meminda Akta Orang Asli 1954.

“(Tetapi) Apa kandungan sebenar pindaan itu?” katanya.

Nicholas turut melahirkan kebimbangan bahawa pindaan itu mungkin hanya akan meneruskan dasar 2009 yang hanya mengiktiraf tanah diduduki dan diusahakan oleh Orang Asli, namun tidak meliputi tanah adat yang lebih luas yang digunakan untuk tujuan seperti memburu dan mencari hasil hutan.

“Pada asasnya, hutan akan hilang daripada mereka,” katanya, sambil menambah tidak memberikan sebarang petunjuk tentang bentuk pengiktirafan yang lebih menyeluruh akan dilakukan,” katanya.

Sementara itu, aktivis Orang Asli, Zurdi Baharu, menggesa kerajaan menghormati hak dan nasib Orang Asli serta menegakkan prinsip persetujuan awal yang bebas dan dimaklumkan dalam merangka pindaan tersebut.

Ia termasuk pelantikan wakil Orang Asli yang dipilih, NGO, ahli akademik, aktivis dan pihak berkepentingan lain untuk membentuk suruhanjaya kebangsaan bebas mengenai masyarakat pribumi seperti disyorkan dalam laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 2013 berkaitan siasatan tanah Orang Asli.

“Diharapkan agenda kerajaan Madani dalam RMK13 dapat direalisasikan tanpa mengulangi konflik sebelum ini, iaitu kegagalan mengiktiraf hak menentukan nasib sendiri yang menjadi punca utama penindasan terhadap Orang Asli,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Bukan agensi yang mengawal

Zurdi juga mencadangkan komuniti Orang Asli membawa kerajaan ke mahkamah atas alasan ketidakadilan dari segi prosedur sekiranya pindaan yang dirancang itu tidak didedahkan lebih awal.

“Jika pindaan tersebut memberi kesan besar kepada tanah adat, hak warisan atau sumber pendapatan, komuniti Orang Asli mempunyai locus standi.

“Kerajaan tidak boleh menyembunyikan draf pindaan sekiranya ia memberi kesan besar kepada kumpulan minoriti,” katanya.

Pada 31 Julai lalu, berkata Akta Orang Asli 1954 akan disemak semula menerusi RMK13 bagi menambah baik perlindungan hak dan darjat komuniti tersebut.

Kataya melalui semakan tersebut perihal pemilikan tanah, pendidikan dan infrastruktur Orang Asli akan ditambah baik sebagai ikhtiar meningkatkan sosioekonomi mereka.

Kali terakhir undang-undang tersebut dipinda ialah pada 1975.

Melaluinya peruntukan penubuhan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dimasukkan bagi mengurus hal ehwal Orang Asli, mengisytiharkan rizab Orang Asli, hak tanah, dan larangan pengambilan anak Orang Asli oleh individu luar kaum terbabit.

Nicholas bagaimanapun menegaskan semula kritikannya bahawa satu undang-undang sahaja tidak cukup untuk menangani semua aspek berkaitan hak Orang Asli.

Sebaliknya dia berpendapat perlu ada undang-undang khusus yang lain berkaitan hak tanah Orang Asli berdasarkan draf yang dicadangkan oleh masyarakat sivil pada 2000.

Satu lagi rang undang-undang lain, katanya, ialah untuk menangani isu-isu seperti kebajikan, pendidikan, kesihatan dan infrastruktur.

Di bawah peruntukan tersebut, katanya, Jakoa patut berfungsi sebagai agensi perkhidmatan kepada Orang Asli dan bukan bertindak sebagai badan yang mengurus dan mengawal mereka.

[Baca berita asal]



Source link