Malaysia Oversight

Aktivis mohon maaf berhubung kenyataan cabar pakar patologi inkues Zara

By MkiniBM in September 20, 2025 – Reading time 2 minute
Aktivis mohon maaf berhubung kenyataan cabar pakar patologi inkues Zara


Seorang aktivis membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung hantaran media sosialnya yang didakwa menghina mahkamah dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Dalam hantaran di Facebook malam tadi, individu berkenaan turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) kerana memberinya peluang untuk memohon maaf dan menyelesaikan isu yang timbul.

Awal bulan ini, AGC mengeluarkan notis tunjuk sebab terhadap wanita itu berhubung kenyataannya dalam hantaran Facebook bertarikh 4 Sept, yang didakwa mencabar keterangan pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu serta berisiko mempengaruhi persepsi awam terhadap inkues yang sedang berjalan.

Dalam permohonan maafnya, dia menegaskan dia tidak pernah berniat untuk mempersoal atau mengganggu prosiding yang sedang berlangsung di Mahkamah Koroner.

Saya juga tidak mempunyai niat jahat untuk mahu mempengaruhi pandangan serta persepsi masyarakat, apatah lagi hakim Mahkamah Koroner yang sedang menjalankan prosiding inkues.

Saya berjanji untuk tidak lagi membuat sebarang hantaran yang boleh dianggap mengganggu sistem keadilan dan menghina mahkamah,” katanya.

Menurutnya, hantaran yang menjadi pertikaian itu telah dipadam pada 13 Sept lalu.

Inkues yang berjalan meneliti punca kejadian yang membawa kepada insiden Zara jatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya pada Julai lalu.

Hiu menjadi sasaran kecaman selepas memberi keterangan bahawa hasil forensik menunjukkan Zara berkemungkinan besar melompat atau menghayunkan dirinya melepasi palang asrama tingkat tiga, bukannya ditolak atau jatuh secara tidak sengaja.

Namun, ketika ditanya jika Zara mungkin meninggal dunia akibat membunuh diri, Hiu berkata perkara itu terpulang kepada Mahkamah Koroner untuk diputuskan.

Hiu kemudian membuat laporan polis selepas menerima ancaman daripada pengguna media sosial.

Zara ditemukan cedera parah dan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah pada 16 Julai lalu. 

Dia kemudian terus dibawa ke hospital untuk rawatan namun meninggal dunia keesokannya.

Kes itu dipercayai berkait dengan kejadian buli, dengan lima remaja telah dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan membulinya.



Source link