Aktivis Kampung Sungai Baru, Rafidah Ibrahim dan Mythreyar Mutturamalinggam, dipanggil pihak polis bagi memberi keterangan berhubung video tular mereka yang mengecam perobohan Surau al-Karamah di Kampung Seri Keramat, Pasir Puteh, Ipoh Timur, Perak.
Menurut Mythreyar, dia dan Rafidah diarahkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya esok (14 Okt) untuk diambil keterangan oleh pegawai penyiasat dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
Bagaimanapun, katanya, mereka masih belum dimaklumkan di bawah peruntukan undang-undang mana siasatan dijalankan.
“Saya dan Rafidah menerima mesej teks daripada pihak polis. Pada awalnya, saya dan Rafidah dipanggil ke IPD Ipoh pada 6 Okt.
“Tapi selepas peguam kami berbincang dengan pihak polis, mereka bersetuju kami pergi ke IPD Petaling Jaya. Pegawai dari IPD Ipoh datang ke Petaling Jaya untuk merakam keterangan,” kata Mythreyar yang mesra dipanggil sebagai Mike.
Kedua-dua aktivis itu akan diwakili oleh peguam Zaid Malek daripada Lawyers for Liberty (LFL).
Untuk rekod, pada 29 Sept, Mike memuat naik video di TikTok mengajak orang ramai mempertahankan Surau al-Karamah daripada diroboh, susulan dakwaan bahawa kawasan itu akan dijadikan laluan jalan bagi projek perumahan baru.
Sementara itu, dalam satu video berasingan, Rafidah turut menyeru orang ramai agar berhimpun pada 2 Okt bagi membantah tindakan perobohan tersebut.
Susulan daripada itu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pada 2 Oktober menasihatkan orang ramai agar tidak memperbesarkan isu berkenaan.
Memetik laporan Sinar Harian, Yang Dipertua MAIPk, Mohd Annuar Zaini, berkata tindakan menyebarkan atau memanipulasi isu tersebut boleh menimbulkan salah faham serta menggugat keharmonian masyarakat.
Menurutnya, perkara itu sebenarnya telah lama diselesaikan apabila surau berkenaan dipindahkan ke tapak baru kira-kira 250 meter dari lokasi asal, di atas tanah wakaf yang sah di bawah nama MAIPk.
“Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang berlangsung pada 30 September hingga 1 Oktober 2020 telah memutuskan supaya surau lama dipindahkan kerana ia dibina di atas tanah bukan wakaf,” katanya.
Dia menambah, kerajaan negeri telah menyediakan tapak baru yang sah bagi pembinaan semula surau tersebut, manakala pihak pemaju menanggung sepenuhnya kos pembinaannya.
Surau baru itu kini telah siap dan digunakan oleh penduduk setempat.
“MAIPk telah melantik jawatankuasa surau yang sah pada 2 Januari 2024 untuk menguruskan operasi dan pentadbiran surau baharu itu mengikut peraturan serta garis panduan ditetapkan,” katanya.
Mohd Annuar turut menjelaskan bahawa bangunan lama yang sebelum ini digunakan sebagai surau sebenarnya dibina di atas tanah milik pemaju tanpa kelulusan pihak berkuasa agama negeri, sekali gus menjadikan pembinaannya tidak sah di sisi undang-undang.






