Putrajaya mungkin akan membenarkan pemberi maklumat melaporkan salah laku melalui saluran lain selain daripada agensi penguatkuasaan, sebagai sebahagian daripada pindaan lanjut terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Walaupun Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran (Harapan–Ipoh Barat), tidak memperincikan platform lain yang sedang dipertimbangkan oleh kerajaan, akta tersebut kini menjadi perhatian selepas seorang pemberi maklumat yang pergi ke media tidak diberikan perlindungan.
Dalam ucapan penggulungan semasa membentangkan Rang Undang-Undang untuk meminda Akta tersebut, Kulasegaran berkata kerajaan sedang meneliti cadangan untuk meluaskan saluran pelaporan pemberi maklumat.
“Termasuk kemungkinan membenarkan pendedahan ke pihak lain selain agensi penguatkuasaan dengan matlamat menggalakkan lebih ramai pendedah maklumat tampil ke depan tanpa rasa takut,” katanya.
“Pada masa ini kerajaan masih yakin identiti seorang pendedah maklumat dapat dilindungi jika pendedahan dibuat ke agensi penguatkuasaan saja, ini adalah penting bagi pastikan bukan saja identiti pendedah maklumat dilindungi tapi maklumat yang diberikan juga.
“Adalah turut dikhuatiri jika pendedahan dibuat ke pihak media, perlindungan sukar diberikan dan maklumat berkenaan identiti dan maklumat diberikan akan tersebar luas,” katanya lagi.
Terdahulu hari ini, peguam kepada Albert Tei, ahli perniagaan yang menjadi pemberi maklumat, mendedahkan walaupun Tei telah menghubungi SPRM dengan maklumat mengenai skandal rasuah di Sabah namun pegawai SPRM didakwa memberi amaran supaya dia tidak tampil ke hadapan.
Tei kemudian mendedahkan skandal lesen perlombongan kepada Malaysiakini, termasuk menerbitkan beberapa video dan dokumen yang didakwa mengaitkan sembilan ahli politik — termasuk speaker DUN Sabah — yang dikatakan menerima rasuah sebagai balasan untuk lesen penerokaan perlombongan.
Bagaimanapun, pada 30 Julai, Tei didakwa atas tuduhan memberi rasuah, dengan SPRM menegaskan dia tidak layak mendapat perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat kerana didakwa turut terlibat dalam kesalahan yang dilaporkan.
Rang Undang-Undang (Pindaan) Perlindungan Pemberi Maklumat 2025, yang telah diluluskan di Parlimen hari ini melalui undian suara majoriti selepas dibahaskan oleh ahli parlimen, antara lain bertujuan untuk menubuhkan Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat, yang pengerusi dan ahlinya akan dilantik oleh kerajaan.
Rang undang-undang itu menetapkan jawatankuasa tersebut akan mengurus pelaksanaan kuasa umum yang dipegang oleh agensi penguatkuasaan berkaitan semua perkara melibatkan perlindungan pemberi maklumat.
Dalam perbahasannya, Ahli Parlimen PKR Wong Chen (PH–Subang) mempertikaikan pelantikan ahli jawatankuasa oleh kerajaan.
“Ia kelihatan tidak baik untuk sebuah kerajaan yang mengangkat agenda reformasi Madani.”
“Apa salahnya jika menteri (undang-undang) melantik empat daripada tujuh ahli jawatankuasa, dan selebihnya datang daripada kalangan ahli akademik, Majlis Peguam dan NGO?
“Saya bukan menentang kerajaan (dan) saya tidak menolak rang undang-undang ini, tetapi kita perlu lakukan dengan lebih baik,” katanya.
Sentimen serupa turut disuarakan oleh Ahli Parlimen Bersatu Mas Ermieyati Samsudin (PN–Masjid Tanah).
Bagaimana rakyat mahu percaya kepada jawatankuasa ini jika seorang menteri boleh menjadi subjek aduan pemberi maklumat dan pada masa yang sama mempunyai kuasa untuk melantik ahli jawatankuasa, soalnya.
“Ini bukan reformasi — ini hanyalah satu ilusi,” katanya, sambil menyatakan kuasa seperti ini bertentangan dengan amalan di negara lain yang telah menubuhkan badan bebas untuk melindungi pemberi maklumat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said sebelum ini memberi jaminan selagi pemberi maklumat mematuhi akta, perlindungan akan diberikan kepada mereka tanpa mengira siapa yang didakwa terlibat dalam pendedahan mereka.
Kenyataan Azalina hadir selepas Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyuarakan kebimbangan bahawa ramai pemberi maklumat terpaksa pergi ke media kerana takut disenyapkan, terutama apabila dakwaan melibatkan tokoh berpangkat tinggi.
Laporan oleh: Qistina Nadia Dzulqarnain, Shakira Buang, Hariz Mohd