Malaysia Oversight

Akta Mesin Cetak kerap diguna sasar media LGBTQ+

By MkiniBM in July 16, 2025 – Reading time 3 minute
malaysiakini logo


Satu laporan mendapati Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA) semakin kerap digunakan terhadap media LGBTQ+ dan penerbitan tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut pengasas bersama Justice For Sisters (JFS), Thilaga Sulathireh, media LGBTQ+ menyumbang 42 peratus daripada semua bahan yang diharamkan antara tahun 2020 hingga Mei 2025.

Beliau turut memaklumkan terdapat peningkatan penggunaan PPPA untuk mengharamkan penerbitan tempatan.

Sebagai contoh, lima penerbitan tempatan diharamkan pada tahun 2024 manakala lima lagi diharamkan hanya dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, kata Thilaga.

64e78e8f0446fbceaac1cd35c0857806

“Pada tahun 2024, enam buku diharamkan. Kini, dalam hanya lima bulan pertama (2025), jumlahnya sudah pun 12 buah buku.

“Jadi, ia dua kali ganda lebih tinggi berbanding keseluruhan jumlah buku yang diharamkan pada 2024,” katanya ketika pelancaran laporan JFS bertajuk “Penapisan Ekspresi LGBTIQ di bawah PPPA”di pejabat Amnesty International Malaysia di Petaling Jaya, .

Buku cinta turut diharam

Pada bulan Mei, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan tujuh buah buku di bawah PPPA atas alasan kebimbangan terhadap moral dan ketenteraman awam, termasuk novel cinta-komedi terkenal “Love, Theoretically” oleh penulis terlaris Ali Hazelwood.

KDN berkata keputusan pengharaman dibuat sebagai langkah kawalan untuk mencegah ancaman sebelum ia memberi kesan buruk kepada masyarakat.

Pada bulan Februari pula, KDN mengumumkan pengharaman tiga lagi buku atas alasan kebimbangan terhadap moral awam.

Pengharaman buku atas alasan moral awam adalah selaras dengan Seksyen 7(1) PPPA yang melarang percetakan, pengimportan, penerbitan, pengedaran, penjualan, atau pemilikan bahan yang boleh menjejaskan moral awam di Malaysia.

Normalisasi diskriminasi LGBTQ+

Mengulas lanjut, Thilaga berkata pengharaman buku seperti ini menormalkan diskriminasi terhadap minoriti seksual dan pada masa sama membisukan suara mereka.

“(PPPA) meningkatkan diskriminasi terhadap komuniti LGBTQ+ dan kumpulan terpinggir kerana ia membenarkan budaya tanpa akauntabiliti, dengan menggalakkan orang ramai membuat aduan terhadap penerbitan yang dianggap tidak sesuai.

“Kita pernah lihat sebelum ini, dalam banyak pelancaran dan acara buku, bagaimana kempen dilancarkan untuk membuat laporan terhadap mereka dan sebagainya,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya lagi, larangan itu bukan sahaja menyasarkan penerbitan yang menumpukan kepada pengalaman LGBTQ+, tetapi juga yang menyentuh isu seks dan seksualiti.

Katanya, penyalahgunaan PPPA serta konsep ‘moraliti majoriti’ berpunca daripada diskriminasi yang berakar.

Situasi seperti ini, menurutnya menyebabkan komuniti yang terkesan menjauhkan diri dan mengasingkan diri secara paksa.

Tapis kepelbagaian

Sementara itu, pegawai kanan program Article 19, Nalini Elumalai berkata, konstruksi moraliti berasaskan majoriti telah menghadkan kepelbagaian dan menyamakan tindakan itu dengan “penapisan terhadap kepelbagaian”.

Selain menjejaskan kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan, dia turut mengulas bagaimana pendekatan ini menyekat pembentukan masyarakat yang inklusif.

Ini kerana ia menyebabkan pandangan dalam masyarakat menjadi semakin terpolarisasi, jelasnya.

“Dalam gambaran lebih besar, ia merosakkan demokrasi dan menyekat perbincangan bermakna serta pemikiran kritikal dalam kalangan rakyat Malaysia — yang sangat penting untuk membina masyarakat yang berpengetahuan dan inklusif,” tambahnya.

Amnesty lancar petisyen

Pada acara sama, Amnesty International Malaysia turut melancarkan satu petisyen bagi mendesak pemansuhan undang-undang yang menindas.

Pegiat kempen kebebasan bersuara Amnesty International Malaysia, Kiran Kaur berkata kebimbangan bahawa cadangan pindaan terhadap PPPA bakal bercanggah dengan fungsi Majlis Media Malaysia (MMC) yang baru ditubuhkan.

“Peraturan yang lebih ketat secara langsung bercanggah dengan matlamat MMC, iaitu untuk mengawal selia industri media secara kendiri, dengan cara yang lebih bebas dan telus.

“Dengan cadangan pindaan yang memperluas bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri serta kawal selia yang lebih ketat… ia menafikan tujuan asal MMC,” katanya.

Kaur berkata langkah itu akan membawa kepada ketidakcekapan sistemik.

Semalam, MMC telah melantik ahli lembaga pengasasnya.

Perkembangan itu menyusul selepas parlimen meluluskan Akta Majlis Media Malaysia 2025 awal tahun ini, hasil desakan berdekad lamanya oleh masyarakat sivil dan industri berita.

[Baca berita asal]



Source link