Sekumpulan ahli Parlimen rentas parti menggesa kerajaan menyegerakan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat (FOI) dan RUU Ombudsman, sebagai sebahagian daripada langkah reformasi institusi yang lebih luas bagi meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban.
Dalam sidang media di Parlimen hari ini, Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata bahawa cadangan Akta FOI, yang kini di peringkat akhir libat urus sebelum dibawa ke kabinet, perlu menggantikan Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) yang disifatkan sebagai lapuk dan “terlalu luas” skopnya.
“OSA terlalu umum dan ketinggalan zaman. Apa-apa reformasi FOI mesti ada klausa kepentingan awam yang kuat, pengecualian yang ditakrifkan secara khusus, serta prosedur jelas untuk menyahklasifikasi maklumat, termasuk dalam hal perolehan dan pertahanan,” kata Syed Ibrahim ang juga pengerusi kumpulan Parlimen renta parti mengenai integriti, tadbir urus dan antirasuah.
Dia menegaskan undang-undang yang baru itu perlu disertai dengan penubuhan suruhanjaya maklumat yang bebas.
Paling penting, katanya lagi, suruhanjaya itu perlu melapor secara terus ke Parlimen dan DUN dan tanpa pengaruh luar.
Sebuah jawatankuasa protem telah ditubuhkan pada April lalu bagi merangka RUU FOI.
Pada 18 Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said memberitahu Parlimen bahawa jawatankuasa itu telah mengadakan lima mesyuarat, dua sesi perbincangan, satu bengkel dan dua sesi libat urus dengan kementerian, agensi serta pihak berkepentingan lain.
Azalina turut mengesahkan RUU Ombudsman, yang dirangka untuk mengendalikan aduan berkenaan kesalahan tadbir urus, kini di peringkat akhir dan sedang menunggu memorandum kabinet.
Syed Ibrahim menekankan bahawa kebebasan adalah perkara paling penting bagi ombudsman.
“Ia akan mengukuhkan integriti perkhidmatan awam dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem pengurusan aduan negara,” katanya.
Katanya lagi, antara cadangan jawatankuasa adalah:
Takrif undang-undang yang jelas mengenai salah tadbir, salah laku serta kuasa pemulihan Ombudsman.
Penyelarasan dengan Biro Pengaduan Awam dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi mengelakkan pertindihan.
Mekanisme bagi memastikan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan turut dilibatkan.
Kuasa siasatan yang luas, termasuk kuasa untuk memulakan siasatan, mengakses dokumen di bawah undang-undang kerahsiaan, dan memasuki premis tanpa notis awal.
Syed Ibrahim turut menggesa semakan dibuat terhadap takrif salah laku dalam Akta EAIC supaya ia terpakai kepada keseluruhan perkhidmatan awam, bukan hanya agensi penguatkuasaan.
“Akhir sekali, mesti ada pemisahan kuasa yang jelas antara ombudsman dengan unit integriti di kementerian atau agensi,” katanya lagi.