ALOR SETAR: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menyita 5,000 kilogram produk makanan kering “Dried Longan Pulp” di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
Sitaan itu dilakukan bersama Kementerian Kesihatan selepas pemeriksaan mendapati produk tersebut melanggar peraturan pelabelan makanan di bawah Akta Makanan 1983.
“Produk berkenaan dibawa masuk menggunakan lori melalui laluan dagang bersama barangan makanan lain namun didapati tidak mematuhi peraturan pelabelan makanan di bawah Akta Makanan 1983,” menurut kenyataan AKPS.
Anggaran nilai sitaan ialah RM82,500 berdasarkan invois pembekal.
Tiada individu ditahan dalam operasi tersebut.
Ejen berkaitan memilih untuk melaksanakan tindakan eksport semula ke negara asal mengikut prosedur yang ditetapkan.
Sitaan ini adalah hasil Operasi Pemeriksaan Konsainan 100 Peratus yang dilaksanakan secara berterusan oleh AKPS bersama agensi penguatkuasaan di pintu masuk negara.
Langkah itu bertujuan memastikan keselamatan dan pematuhan undang-undang terhadap semua barangan dagangan yang dibawa masuk. – Bernama