PARLIMEN l Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan tiada siasatan dijalankan terhadap Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berhubung kenyataannya yang mencadangkan penghapusan sekolah vernakular, kerana tiada laporan polis dibuat setakat ini.
Saifuddin menjelaskan perkara itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat kepada soalan Ahli Parlimen DAP (Bagan) Lim Guan Eng, yang bertanya mengenai tindakan pihak berkuasa terhadap Akmal berhubung kenyataan tersebut.

“Berhubung kenyataan Ketua Pemuda Umno yang mencadangkan penghapusan sekolah vernakular, hasil semakan PDRM mendapati setakat ini tiada laporan diterima ke atas kenyataan tersebut,” katanya.
Kenyataan Akmal sebelum ini dibuat susulan cadangan oleh Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany), Tan Yi Ze, pada 12 September supaya kerajaan menghapuskan sistem matrikulasi dan menggunakan keputusan STPM sebagai satu-satunya penanda aras kemasukan ke universiti awam.
Akmal yang tidak berpuas hati menyoal adakah Umany akan bersetuju kalau kerajaan memansuhkan sekolah vernakular.
“Kalau nak mansuh matrikulasi untuk jadikan STPM syarat tunggal masuk universiti maka kamu bersetuju atau tidak untuk mansuhkan sekolah jenis kebangsaan dan jadikan sekolah hanya ada satu aliran sahaja?

Untuk rekod, Akmal sebelum ini telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas tuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, kerana didakwa mengeluarkan kenyataan yang boleh mengancam ketenteraman awam berkaitan insiden Jalur Gemilang yang dikibarkan secara terbalik di Melaka.
Berhubung Tan pula, Saifuddin memaklumkan pemimpin pelajar itu kini disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selepas laporan polis dibuat terhadapnya.
“Setakat ini, seramai 17 orang saksi telah dirakam percakapan, dan siasatan berhubung Presiden Umany Tan Yi Ze berkaitan kenyataannya mengenai pemansuhan program matrikulasi dan penggunaan STPM sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam,” katanya.






