Malaysia Oversight

Akmal tangguh ‘kelas’ pasang bendera, Latheefa kata pemilik premis dianiaya

By MkiniBM in August 10, 2025 – Reading time 2 minute
Akmal tangguh ‘kelas’ pasang bendera, Latheefa kata pemilik premis dianiaya


Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh menangguhkan rancangan untuk “mengajar” seorang pemilik kedai perkakasan mengenai cara mengibarkan Jalur Gemilang dengan betul, setelah didakwa tersalah tafsir kenyataan polis yang menyebut cadangan pertuduhan akan dibuat terhadap individu berkenaan.

Sementara itu, peguam Latheefa Koya mendakwa tindakan polis mencadangkan pertuduhan menunjukkan pemilik kedai tersebut dianiaya.

Terdahulu, pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Alwi Zainal Abidin berkata pemilik premis itu telah ditahan dan polis akan menyerahkan kertas siasatan kepada pihak pendakwa raya esok dengan cadangan agar pertuduhan dibuat ke atasnya.

Akmal mentafsirkan kenyataan itu sebagai pertuduhan akan dibuat di mahkamah esok.

“Disebabkan polis telah menangkap dan lelaki yang kibar bendera Malaysia terbalik ini akan didakwa esok, maka kami memberikan ruang seluasnya pada pihak pendakwa untuk menjalankan proses undang-undang. Maka kelas untuk mengajar pasang bendera kepadanya esok akan ditangguhkan.

“Kami desak agar pihak pendakwaraya, dan memohon pada pihak mahkamah, agar individu ini didakwa dan dikenakan hukuman yang berat agar dapat menjadi pengajaran kepada semua pihak pada masa yang mendatang,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Jika hukuman yang dijatuhkan tidak setimpal, kata Akmal, ia akan membuka ruang kepada pihak lain untuk menghina kedaulatan negara.

Dia juga mengingatkan mana-mana pihak lain yang mengibarkan Jalur Gemilang dengan salah selepas ini akan terpaksa mengikuti “kelasnya”.

“Kelas pasang bendera ini hanya ditangguhkan sementara sahaja, jika ada pihak lain yang ingin mencabar lagi selepas ini, sila cabar dan kami akan datang,” katanya lagi.

Sama ada pertuduhan akan dibuat atau tidak bergantung kepada pihak pendakwa raya.

‘Tercemar dengan ketidakadilan’

Bagaimanapun, Latheefa berkata siasatan, penangkapan dan cadangan pertuduhan tersebut tercemar dengan unsur ketidakadilan, dan hak pemilik kedai untuk mendapat perbicaraan adil telah terjejas sejak dari mula.

50f1e138cc96c2a365d46247f661bc9e
Latheefa Koya

“Apabila menteri dan ahli politik Madani secara terbuka mengulas siasatan polis yang sedang berjalan dan menuntut tindakan dikenakan, adakah individu yang disiasat itu boleh mendapat layanan adil? Proses ini sudah tercemar sejak dari mula,” katanya dalam kenyataan.

Dia juga menyifatkan siasatan itu sebagai satu pembaziran sumber polis.

“Terdapat banyak kes serius di luar sana yang sepatutnya menjadi keutamaan polis untuk ditangani segera.

“Dalam sesetengah kes serius seperti serangan terhadap Ong Ing Keong oleh pengawal peribadi polis, kes itu berlarutan berbulan-bulan tanpa sebarang pertuduhan.

“Perbezaan dan layanan yang tidak sama rata ini sangat ketara dan tidak boleh diterima,” katanya lagi.

Kesilapan bendera terbaru tular di media sosial semalam selepas seorang pengguna Facebook menyiarkan video berdurasi 20 saat, di mana seorang lelaki dilihat membawa bendera terbalik di atas tiang, manakala seorang lagi merakamnya.

Akhbar harian berbahasa Cina, Kwong Wah melaporkan bahawa Feng menjelaskan dia ketika itu sedang mengukur panjang tiang besi untuk menggantung bendera Jalur Gemilang, dan tidak menyedari bendera tersebut dipasang terbalik.

Dia juga berkata tidak tahu keseluruhan proses itu dirakam dan dimuat naik ke Facebook, serta kesal video tersebut tidak merakam keadaan ketika kedudukan bendera telah dibetulkan.



Source link