Pemimpin politik kerajaan dan pembangkang menzahirkan reaksi berbeza terhadap saranan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh yang mencadangkan Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula serta Umno keluar daripada kerajaan perpaduan.
Dalam kalangan pemimpin PAS, cadangan tersebut disambut secara terbuka dan dianggap wajar diberi perhatian serius sebagai usaha penyatuan politik Melayu.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata usaha menghidupkan kembali MN perlu dilihat sebagai payung besar penyatuan yang strategik.
“Saya menyokong penuh cadangan Ketua Pemuda Umno Malaysia untuk menghidupkan kembali MN, malah di sambut Ketua Pemuda PAS Malaysia.

“MN bukan sekadar kerjasama politik jangka pendek, tetapi suatu gagasan penyatuan strategik yang memayungi parti-parti Melayu serta rakan-rakan bukan Melayu yang sederhana, rasional dan menolak ekstremisme. Negara ini hanya mampu distabilkan melalui politik yang membina, bukan politik yang merobohkan.
“Saya melihat inilah masa terbaik untuk parti-parti Melayu melakukan reset secara menyeluruh.
“Reset dari sudut pendekatan, budaya berpolitik, tatakelola kepimpinan dan keutamaan perjuangan. Politik dendam dan saling mencurigai mesti digantikan dengan politik muafakat, amanah dan tanggungjawab bersama,” katanya pada kenyataan hari ini.

Pandangan serupa turut disuarakan Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff, yang menyifatkan cadangan tersebut sebagai tepat dan rasional.
“Pada pandangan aku, ini adalah mengambil kira pelbagai kerosakan yang telah berlaku sepanjang hampir tiga tahun pentadbiran kerajaan Madani, khususnya yang menyentuh agama Islam dan kepentingan bangsa Melayu.
“Sehingga hari ini, DAP masih bertegas mempertahankan agenda “Malaysian Malaysia” yang lahir daripada Deklarasi Setapak, satu fahaman yang bercanggah secara langsung dengan, hak dan keistimewaan orang Melayu, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan prinsip Perlembagaan Malaysia itu sendiri,” katanya melalui hantaran di Facebooknya.
Menurut Nurul Islam, agenda DAP itu jelas bercanggah dengan perjuangan Umno sebagai parti nasionalis Melayu yang sejak penubuhannya menjadikan Islam, Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu serta hak orang Melayu sebagai teras perjuangan.

Semalam, Akmal secara terbuka menggesa Umno meninggalkan kerajaan perpaduan dan kembali menjadi pembangkang bagi membina semula kekuatan parti.
Berucap pada Konvensyen Khas Pemuda Umno di Kuala Lumpur yang membincangkan hala tuju Umno dalam kerajaan perpaduan, dia mengingatkan ahli dan pemimpin parti agar tidak gentar berada di blok pembangkang.
Katanya, beberapa “garis merah” yang ditetapkan Umno telah dilanggar oleh pihak tertentu dalam kerajaan perpaduan, khususnya DAP.
“Apabila prinsip kerjasama mula dicabuli, maruah kita tak dihormati, maka cukuplah Umno (bersama kerajaan perpaduan), biar mereka tadbir kerajaan ini, kita jadi pembangkang.

“Hei orang Umno bukan penakutlah (untuk jadi pembangkang)… abang-abang saya jangan takut jadi pembangkang, biarlah setapak ke belakang untuk kita melompat lebih tinggi ke hadapan,” katanya.
Bagaimanapun, nada berbeza disuarakan pemimpin Pemuda PKR (AMK) yang melihat kenyataan Akmal berpotensi menggugat kestabilan kerajaan perpaduan.
Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata kerajaan bukan bahan mainan politik dan bukan kain baju yang boleh ditukar sesuka hati apabila berdepan tekanan atau ego tercalar.
“Mandat rakyat bukan bahan uji kaji atau alat tawar-menawar kuasa. Bermain dengan persepsi Melayu Islam diinjak dan jeritan kononnya memperjuangkan rakyat hakikatnya hanyalah cubaan murahan menutup dan melindungi elit politik tertentu.

“Apa yang rakyat mahu adalah sebuah Kerajaan yang stabil dan berkerja seperti hari ini.
“Kerajaan Madani hari ini berdiri dan bergerak atas semangat penyatuan rakyat dan hari ini terbukti kerangka ekonomi Madani berkembang dengan sangat baik memberi kesan langsung kepada rakyat,” katanya pada satu kenyataan.
Sementara itu, Adun Sungai Udang, Mohd Aleef Yusof daripada Bersatu, berpandangan usaha penyatuan Melayu tidak akan berjaya tanpa penglibatan partinya.
Dia mempersoalkan pendekatan Akmal yang dilihat mengetepikan Bersatu dalam gagasan penyatuan ummah yang hanya melibatkan Umno dan PAS.

“Saya ingin bertanya kepada Akmal, apakah parti Bersatu ini bukan parti Melayu?
“Jika kamu fikir kamu akan berjaya menyatukan orang Melayu dengan hanya penyertaan dua parti sahaja iaitu Umno dan PAS, maka penyatuan itu tidak akan berlaku malah kamu telah memecah belahkan orang Melayu dari kalangan parti Bersatu dan PAS,” katanya.






