Kontroversi mengenai bendera jalur gemilang yang dipasang terbalik di sekolah vernakular di Port Dickson berterusan dengan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh kini mencadangkan agar pemimpin Pemuda DAP pihak yang mengkritiknya turut diberikan status orang kurang upaya (OKU).
“Tolong bagi mereka ni cermin dan kad OKU sekali. Malas nak taip panjang-panjang dah,sebab bebal sangat nak faham,” katanya dalam catatan Facebook sebagai respons kepada artikel yang memetik pemimpin Penolong Setiausaha Pemuda DAP Edmund Lim menuduhnya tidak konsisten dan hipokrit dalam isu berkenaan.
Terdahulu, Akmal menggesa pihak berkuasa agar meneruskan siasatan meski selepas didedahkan bahawa bendera itu didakwa dipasang oleh pekerja berkeperluan khas.
Mempersoalkan kebijaksanaan pihak sekolah mengamanahkan tugas menaikkan bendera kepada orang sedemikian, dia berkata: “Kita tidak mahu alasan OKU atau orang kurang siuman menjadi alasan utama lagi jika perkara ini berulang kembali.”
Dia turut menggesa Kementerian Pendidikan menyiasat identiti dan keadaan individu yang dikatakan OKU itu.
Kenyataan Akmal itu mungkin tidak bergitu mengejutkan buat ramai pihak, terutamanya pemimpin DAP yang sering menjadi sasaran kecaman pemimpin Pemuda Umno itu.
Semasa pertikaian dengan Ahli Parlimen DAP Teresa Kok berhubung isu pensijilan halal tahun lepas, dia merujuknya sebagai “nyonya tua”.
Dia kemudiannya bertelagah dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berhubung kontroversi “sandwic ham dan keju” pada Januari tahun ini.
Apabila Nga menyamakan dirinya seperti “singa” dan Akmal seperti “lalat”, ketua Pemuda Umno itu membalas dengan imej haiwan yang meyerupai babi dan singa.
Semalam, Lim menyifatkan Akmal sebagai tidak konsisten dan bersikap hipokrit dalam isu bendera terbalik.
Lim menuduh Akmal sengaja mencari ruang untuk memanaskan isu kecil semata-mata mahu menimbulkan kebencian.
Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong pula mengingatkan rakyat Malaysia bahawa mempolitikkan isu itu tidak membawa apa-apa kemajuan buat negara dan hanya berisiko mencetuskan konflik yang tidak perlu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Bedamar itu mengecam mentaliti jaguh kampung dan ahli politik yang berdiam diri atau gagal menunjukkan kemarahan yang sama terhadap insiden lampau yang melibatkan penggambaran bendera yang tidak tepat.
Sebelum kenyataan Woo, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke telah memberi amaran supaya tidak mempolitikkan isu bendera. Sebagai tindak balas, Akmal menegaskan isu itu adalah mengenai patriotisme, dan bukannya politik.