Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad menyifatkan pendekatan Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh dalam mempopularkan diri melalui isu perkauman sebagai “ketinggalan zaman” dan tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat.
“Keluarlah dari bawah tempurung perkauman yang telah lama lusuh dan reput ditelan zaman.

“Sebaliknya carilah usaha yang bermanfaat kepada rakyat dan negara untuk membuktikan kebolehan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khalid berkata demikian susulan tindakan Akmal yang menjadikan insiden sebuah kedai perkakasan di Butterworth, Pulau Pinang, mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik sebagai modal politik.
Insiden itu tular minggu lalu selepas Pemuda Umno membuat laporan polis. Pemilik kedai kemudiannya tampil menjelaskan bahawa ia berlaku akibat kecuaian pekerja warga asing.
Bagi Khalid, isu itu tidak wajar dijadikan alasan untuk meniup sentimen perkauman sempit.

“Amanah berpandangan, pendekatan yang diambil oleh Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal untuk mempopularkan diri melalui pendekatan perkauman sudah lama ketinggalan zaman.
“Dari sudut rakyat dan negara, ianya tiada mendatangkan apa-apa manfaat sama sekali dan hanya mengalihkan pandangan dari apa yang diperlukan untuk maju ke hadapan,” katanya.
Dia menegaskan bahawa rakyat kini lebih menghargai keamanan dan perpaduan, berbanding politik kebencian.
“Ia sudah tidak releven lagi ketika semua pihak sedang berusaha untuk hidup dan membangunkan negara bersama dalam suasana aman damai serta bersatu padu.
“Dalam pada itu, kita bangga, peristiwa hitam seperti Mei 13 telah 56 tahun berlalu tanpa adanya ulangan walaupun telah muncul ‘hero-hero jadian’ seperti Dr Akmal, yang cuba mengapi-apikan semangat perkauman sempit dalam tempoh itu.
“Mereka semua telah gagal kerana rakyat mendambakan perpaduan dan kestabilan,” katanya.

Khalid turut mengingatkan peranan sebenar kerajaan dan pembangkang ialah menyatukan rakyat, bukannya menghasut perpecahan demi kepentingan politik.
“Tanggungjawab sesuatu kerajaan dan pembangkang yang membina adalah untuk menyatupadukan rakyat atas semangat saling menghormati dan mengasihi sambil mengemblingkan segala kekuatan yang ada ke arah membangunkan negara demi kepentingan rakyat.
“Jangan oleh kerana kita inginkan populariti diri, kita sanggup menjadi penghalang kepada penyatuan rakyat dan menjerumuskan negara dalam perbalahan serta sengketa bodoh yang tidak menguntungkan sesiapa,” katanya.
Dia menegaskan, rakyat mahu bergerak ke hadapan dan tidak mahu terjebak dengan isu perkauman yang hanya merugikan negara.