Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh dan Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham akan dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan mengancam ketenteraman awam.
Turut akan didakwa adalah dua individu lagi.
AGC berkata pertuduhan terhadap Akmal berkait dengan hantaran Facebook yang didakwa dibuatnya, manakala Hilman akan didakwa atas kenyataan yang didakwa dibuat di TikTok. Kedua-dua pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
“Semua pertuduhan akan dikemukakan di Mahkamah Majistret yang mempunyai bidang kuasa setempat dalam masa terdekat.
“Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh individu-individu tersebut didapati telah menggugat ketenteraman awam atau merupakan penggunaan yang tidak wajar terhadap kemudahan rangkaian tau perkhidmatan rangkaian,” kata AGC dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, AGC berkata guru sekolah yang didakwa membuat kenyataan palsu yang pelajar yang meninggal dunia, Zara Qairina Mahathir telah dimasukkan ke dalam mesin basuh juga akan didakwa di bawah Seksyen 505(b).
Selain itu, seorang pengguna TikTok yang sebelum ini didakwa menghina Perdana Menteri di platform berkenaan akan berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Namun, AGC tidak memberikan butiran lanjut mengenai pertuduhan tersebut, termasuk sama ada ia berkaitan dengan dakwaan berkenaan.
‘Saya tidak akan berganjak’
Menurut makluman yang diedarkan kepada pihak media, pengguna TikTok itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, manakala Hilman akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. Kedua-dua pertuduhan itu akan dibuat esok pagi.
Dalam kenyataan di Facebook, Akmal berkata dia kini sedang menunaikan umrah namun akan memendekkan umrahnya untuk pulang dan berdepan pertuduhan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Jumaat.
“Jika ini harga yang saya perlu bayar untuk memartabatkan kedaulatan negara,saya tidak akan berganjak walau seinci sekalipun.
“Kita jumpa di mahkamah Jumaat ini,” katanya lagi.