Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh mempergunakan agama dan kaum demi keuntungan politik.
Dia berkata demikian sebagai mengulas gesaan Akmal supaya Umno menarik balik sokongan daripada kerajaan Perpaduan dengan memainkan naratif perkauman dan agama.
“Naratif yang cuba menggambarkan seolah-olah negara sedang dikhianati adalah satu bentuk politik ketakutan yang tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.
“Kenyataan sedemikian bukan sahaja bersifat emosional, malah jelas mengeksploitasi agama Islam dan isu Melayu semata-mata untuk ‘mileage’ politik, tanpa memikirkan kesan panjang terhadap keharmonian.
“Kedudukan Islam sebagai agama persekutuan serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera tetap terpelihara di bawah pentadbiran semasa tanpa sebarang ancaman nyata.
“Tindakan menggunakan agama sebagai modal politik hanya akan memecah-belahkan masyarakat dan bukannya menyatukan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Akmal baru-baru ini menggesa Umno meninggalkan kerajaan perpaduan dan menjadi pembangkang bagi membina kembali kekuatan parti itu.






