Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menggesa polis mengambil tindakan terhadap individu yang bertanggungjawab di sebalik kesilapan Jalur Gemilang pada poster yang dimuat naik laman Facebook Pemuda Umno Terengganu.
Ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke susulan isu kesilapan kibaran bendera di sebuah kedai di Pulau Pinang, Adun Merlimau itu menegaskan dia tidak akan berkompromi dengan kesilapan anak buahnya sendiri.
“Saya nak bagitahu juga pada Anthony Loke, baru lagi Malaysiakini keluarkan laporan) Pemuda Umno Terengganu buat poster (bendera) tak cukup jalur, dua jalur tak cukup.
“Saya dah semak, kesilapan itu datang daripada orang yang (buat) poster itu dan kita bertanggungjawab. Saya sendiri menggesa tindakan yang keras atau laporan polis perlu dibuat kepada orang yang buat (poster) ini.
“Saya tak nak hanya minta maaf, walaupun ini adalah Pemuda Umno Terengganu…saya minta polis siasat dan kenakan tindakan yang keras,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu hari ini, Pemuda Umno Terengganu didapati menyiarkan grafik dengan imej Jalur Gemilang yang salah di laman Facebooknya.
Ia di tengah kelantangan Akmal dalam mengecam seorang pemilik kedai perkakasan di Pulau Pinang kerana mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik.
Pemuda Umno Terengganu didapati memuat naik grafik bagi menyatakan kemarahan terhadap kesilapan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik, selain menuntut pembelaan terhadap kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir – yang dikatakan menjadi mangsa buli.
Grafik itu memaparkan Jalur Gemilang dan gambar hitam putih Zara. Bagaimanapun, Jalur Gemilang tersebut hanya mempunyai 12 jalur, bukannya 14 seperti yang sepatutnya.
Kesilapan itu disedari oleh pengguna media sosial yang peka dan ramai mempersoalkan jika Akmal akan turut ‘menyerang’ Pemuda Umno Terengganu.
Poster itu dipadamkan pada 12.55 tengah hari tadi dan digantikan dengan poster baru yang memaparkan bilangan jalur yang betul pada bendera negara.
Kesilapan itu antaranya dikritik Setiausaha Agung Pemuda MCA Saw Yee Fung yang menyindir jika Akmal pernah mengajar Pemuda Umno Terengganu cara mengenal pasti bendera Malaysia yang betul, sambil memperli mereka agar tidak memadamkan hantaran itu.
Akmal menegaskan bahawa kelantangannya berhubung perkara itu bukan disebabkan politik, sebaliknya agar masyarakat menghormati lambang negara.
“Kita tak kira siapa kamu, bangsa kamu walaupun fahaman politik apa sekali pun. Walaupun ini geng saya, salah tetap salah.
“Saya minta polis untuk siasat dan kenakan tindakan yang keras kepada orang yang buat poster ini, sebab ini tindakan yang tidak boleh boleh kita terima walaupun ia datang daripada keluarga dan juga kawan kita.
“Jadi pada Anthony Loke, kami bukan hipokrit seperti anda,” tegasnya lagi.