Malaysia Oversight

Akmal ancam keharmonian, mesti dihentikan

By MkiniBM in August 12, 2025 – Reading time 2 minute
Akmal ancam keharmonian, mesti dihentikan


Penasihat DAP Lim Guan Eng menggesa tindakan diambil terhadap Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh yang didakwanya sebagai melanggar Rukun Negara serta mengancam perpaduan nasional, keharmonian, pentadbiran keadilan dan kedaulatan undang-undang, berhubung isu kesilapan memasang Jalur Gemilang.

Lim menegaskan Akmal wajar dikecam kerana bukan sahaja cuba campur tangan dan memberi tekanan tidak wajar terhadap Jabatan Peguam Negara, malah turut membuli seorang warga emas yang telah pun memohon maaf dan ditahan polis atas kesilapan yang tidak disengajakan. 

“Akmal telah mengugut untuk mengadakan protes di hadapan kedai perkakasan tersebut di Kepala Batas, Pulau Pinang pada hari Khamis sekiranya pemilik kedai tidak didakwa selewat-lewatnya esok.

“Mengapa perlu Akmal melancarkan protes yang bersifat provokatif dan sensitif apabila pihak berkuasa sudah pun mengambil tindakan?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Lim yang juga ahli Parlimen Bagan menyuarakan sokongan kepada Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang mengecam tindakan pihak-pihak yang cuba “mengeksploitasi kesilapan tidak disengajakan oleh rakyat biasa”.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan DAP akan menggerakkan ahlinya di Pulau Pinang bagi mempertahankan pekedai yang mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik daripada diganggu oleh mana-mana pihak.

fe63b6383a503d26145118cc8244d90d
Akmal Saleh

Loke berkata pihaknya juga akan mengedarkan sebanyak 831 helai Jalur Gemilang jika ada mana-mana pihak cuba mengganggu ketenteraman di kawasan premis tersebut, selain turut memasang bendera gergasi di kedai tersebut.

Akmal dalam respon balasnya menegaskan dia akan meneruskan hasratnya untuk ke kedai berkenaan walaupun selepas ia dipasang dengan bendera gergasi oleh DAP.

Bagaimanapun, rancangannya ‘membuka kelas’ bagi mengajar cara memasang bendera dengan betul akan dibatalkan.

Akmal berkata dia berpuas hati dengan Loke yang sudah mengajar pekedai berkenaan mengenai Jalur Gemilang yang betul.

Lim bagaimanapun berkata, negara tidak boleh membiarkan seorang individu yang tidak bertanggungjawab memesongkan naratif yang palsu dan berbahaya dan sarat dengan kebencian, pembulian serta campur tangan dalam pentadbiran keadilan yang bertentangan dengan asas-asas Rukun Negara.

“Akmal mesti dihentikan dan Kementerian Dalam Negeri harus mengambil tindakan terhadapnya kerana melanggar Rukun Negara serta menjadi ancaman nyata terhadap perpaduan negara, keharmonian, pentadbiran keadilan dan kedaulatan undang-undang,” katanya lagi.



Source link