Akaun WhatsApp Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail digodam.
Dalam satu kenyataan hari ini, pejabatnya memaklumkan perkara itu telah dilaporkan kepada pihak berkuasa dan menasihatkan orang awam supaya tidak terpedaya dengan panggilan atau mesej yang kononnya dihantar oleh menteri berkenaan.
Amaran ini khususnya merujuk kepada hal-hal yang melibatkan wang atau permintaan untuk mengatur pertemuan.
Kes ini merupakan antara insiden terbaru melibatkan pengambilalihan akaun mesej dan media sosial milik tokoh politik oleh penggodam.
Pada Februari lalu, akaun WhatsApp Menteri Besar Kelantan, Nassuruddin Daud, dilaporkan digodam dan digunakan untuk meminta wang.
Pada Ogos 2022, akaun Telegram milik bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dan bekas menteri luar negeri, Saifuddin Abdullah, turut menjadi mangsa penggodaman.
Pihak WhatsApp menasihatkan pengguna agar mengaktifkan ciri pengesahan dua langkah (two-step verification) bagi melindungi akaun mereka daripada akses tanpa kebenaran.