Malaysia Oversight

Akaun Instagram dikendalikan oleh Ebit sendiri, kata saksi

By MkiniBM in November 3, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Seorang saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan Ebit Lew memberitahu Mahkamah Majistret Tenom, akaun Instagram milik tertuduh dikendalikan oleh individu terbabit sendiri.

Pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia, Supt Noor Asyikin Shamsuri, 46, yang juga saksi ke-18 berkata dapatan itu adalah hasil analisis yang dijalankan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC).

Noor Asyikin berkata berdasarkan surat jawapan daripada MCMC, agensi itu menyatakan bahawa Instagram atas nama Ebit Lew itu dikendalikan atau dikawal selia oleh seorang individu bernama Ebit Irawan Ibrahim Lew.

Saksi itu berkata terdapat maklumat tertuduh disertakan bersama gambar profil tertuduh yang berjubah merah, manakala hasil carian di Google pula menemukan nama syarikat Transform Training & Consultancy dipercayai mempunyai kaitan dengan kes yang sedang disiasat.

“Selain itu laporan SKMM (MCMC) juga menunjukkan laman Facebook rasmi Ebit memaparkan nombor telefon yang sama (pada hasil carian) tersebut,” katanya ketika ditanya dalam pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Nor Azizah Mohamad di hadapan majistret Nur Asyraf Zolhani.

Pendakwaan turut diwakili timbalan pendakwa raya Analia Kamaruddin dan Muhammad Hidayat Wahab, manakala Ebit diwakili peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Prabjit Singh Gill.

Noor Asyikin berkata laporan itu diterima apabila Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman membuat permohonan kepada MCMC untuk membuat analisis akaun media sosial dan nombor telefon tertuduh.

Sementara itu dalam pemeriksaan balas Ram Singh, saksi menafikan wujud komunikasi antara pengadu dan Ebit melalui Instagram sejak 2018 kerana berdasarkan siasatan, pengadu berkomunikasi dengan tertuduh melalui aplikasi WhatsApp.

Ebit, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah melalui WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok.

Bernama



Source link