ULASAN SUKAN | Setelah sekian lama menunggu, tirai Liga Malaysia akhirnya akan disingkap esok.
Fokus pasti terarah kepada kelibat dua gergasi – JDT dan Selangor – yang akan bersaing merebut Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim sekali gus menjadi perlawanan pembukaan Liga Super.
Cuma kita berharap akan ada sedikit perubahan kali ini. Mana tahu, Selangor mungkin boleh memulakan perubahan itu nanti.
Tambahan pula barisan pemain skuad dari Lembah Klang itu mendapat sentuhan daripada ketua jurulatih baru dari Jepun, Katsuhito Kinoshi. Pengendali itu hadir dari sebuah negara yang tidak mengenal erti kekalahan dalam bola sepak.
Di atas padang nanti, nama pemain bintang seperti Faisal Halim – yang bakal mengetuai cabaran Selangor – juga akan pantas berlegar dalam minda peminat.
Faktor seperti ini menceritakan JDT mungkin perlu berwaspada sedikit kali ini jika mahu piala yang dipertandingan kekal dalam almari koleksi trofi mereka.

Apa pun, soal terasa gementar, tekanan atau permainan psikologi pihak lawan sebenarnya bukan lagi isu buat pemain JDT. Majoriti mereka sudah biasa menangani tekanan ketika memburu gelaran.
Itulah perwatakan kebal yang mereka sajikan selama ini. Komitmen mengejar kejayaan sudah menjadi satu rutin setiap musim.
Jadi misi quadruple atau menyapu bersih keempat-empat piala dalam satu musim buat kali keempat berturut-turut masih memihak kepada skuad bergelar Harimau Selatan apabila musim tamat nanti.
Menarik jika berlaku
Cita-cita pasukan itu juga besar – mahu menakluk pentas saingan benua. Gelaran juara dalam Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) tidak pernah luntur. Justeru kejayaan mendominasi liga domestik akan sentiasa memberi selera tambahan.
Bagi peminat tanah air pula, mereka amat mengidam mahu melihat sesuatu yang berlainan kali ini. Tapi, dari mana agaknya akan datang kelainan yang diinginkan itu, atau akankah mereka kempunan lagi?
Hanya perubahan drastik dari segi mentaliti, persembahan berkualiti pihak lawan serta pengurusan mantap boleh mencetus satu harapan betapa impian itu mungkin dapat dicapai.
Komuniti bola sepak negara mahu melihat Selangor dan pesaing lain – Terengganu, Sabah, KL City atau pun Melaka FC umpamanya – dapat menjelmakan kekuatan sebenar menyekat dominasi JDT.
Jika berlaku, edisi kali ini pastinya lebih menarik. Bola kini berada di kaki mereka.
Bolehkah kita melihat satu keajaiban musim ini?

Untuk membataskan pergerakan JDT secara efektif, pasukan lain harus memiliki elemen kualiti dan komitmen tinggi sepanjang musim. Ringkasnya, perlu ada persembahan konsisten selama kira-kira 10 bulan berikutnya.
Jika beberapa pasukan dapat mencatat keputusan seri pun boleh dianggap satu pencapaian cukup memberangsangkan. Tapi, kemenangan pasti boleh ‘mengubah wajah’ pertandingan.
Kecuali pemain JDT, kita sebenarnya tidak tahu bagaimana mahu menilai kekuatan pemain pasukan lain.
Tambahan pula, penulis belum nampak kesungguhan pada wajah mana-mana pasukan yang mampu mencabar penguasaan JDT, melainkan semangat untuk bertanding dalam Liga Super setiap musim.
Faham, ia nampak perit tapi perlu diterima sebagai satu realiti ketika jurangnya masih besar antara mereka dan lawan lain.
Rasa gerun buat lawan
Ada juga yang mungkin secara berseloroh berkata betapa buruan untuk menjadi naib juara liga seperti lebih diutamakan.
Sifat ini jika wujud harus dikikis kerana 13 pasukan bertanding kali ini memiliki peluang dan tiada apa yang mustahil dalam bola sepak.
JDT sudah pasti mahu mengekalkan momentum mereka. Ini kerana mereka memiliki jentera pasukan yang tidak banyak berubah sejak beberapa tahun lalu, malah makin kebal.
Dengan suntikan tambahan pemain naturalisasi dan pemain warisan, kita belum nampak dari arah mana akan datang saingan yang mampu melumpuhan jentera pasukan juara bertahan itu.
Pada musim lalu, JDT menamatkan kempen Liga Super dengan aksi cukup kental apabila menyudahkan cabaran tanpa sebarang kekalahan. Cuma seri sekali daripada jumlah 24 perlawanan kepada PDRM FC.
Statistik ini tetap menerbitkan segala rasa gerun kepada 12 pencabar lain.
Apa pun, kita juga tidak harus sentiasa mencemburui kejayaan dilakar JDT pada setiap musim. Mereka sudah membina tapak yang kukuh. Ia bermula bukan beberapa bulan lalu atau pun setahun lalu, sebaliknya lebih sedekad lalu.
Mereka melakukannya dengan penuh dedikasi dan sistematik. Hari ini mereka menuai hasil apa yang ditanam dulu.
V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.