Malaysia Oversight

Aisha Retno, Ade Govinda luah rasa kehilangan dalam Semoga Saja

By Utusan in September 24, 2025 – Reading time 2 minute
Aisha Retno, Ade Govinda luah rasa kehilangan dalam Semoga Saja


PETALING JAYA: “Lagu ini bersifat peribadi untuk saya kerana mewakili rasa kehilangan dan doa yang mungkin pernah dirasai ramai orang.”

Demikian kata penyanyi, Aisha Retno yang baru sahaja melancarkan lagu terbaharu berjudul, Semoga Saja ciptaan bersama komposer terkenal Indonesia, Ade Govinda.

Berbeza dengan kolaborasi Ade Govinda yang terdahulu, Semoga Saja menampilkan nuansa baharu dengan susunan tempo yang medium namun tetap sarat dengan emosi.

Menggambarkan rasa kehilangan dan doa bagi seseorang yang telah pergi, lagu ini juga menonjolkan sisi vokal Aisha yang berbeza seiring dengan nada dan harmoni muzik yang indah.

Menurut Aisha, dia berharap kelainan yang cuba ditonjolkan menerusi lagu ini dapat menyentuh hati pendengar melalui setiap bait lirik yang mempunyai mesej tersendiri.

“Saya amat berharap agar pendengar dapat merasakan kejujuran dalam setiap nada dan memperoleh kekuatan dalam harapan yang tersisa dalam diri,” katanya.

Tambah Ade, kerjasama kali ini membuatkan dirinya senang untuk berkolaborasi dengan penyanyi berbakat besar seperti Aisha selain berharap dapat menghasilkan lebih banyak lagi lagu bersama.

“Semoga dengan adanya kolaborasi ini, kami dapat terus bekerjasama pada masa akan datang,” ringkasnya.

Selain liriknya mendapat sentuhan bersama komposer terkenal Indonesia, video muzik Semoga Saja juga diarahkan oleh sutradara, Bagoes Tresna Adji.

Difahamkan, proses penggamaran video muzik lagu ini telah dijalankan beberapa bulan lalu di Cottage Basisir Pole, Pantai Carita, Indonesia.

Kata Bagoes, kisah visualnya memperlihatkan Aisha menyelami rasa yang masih menyimpan harapan akan kembalinya seseorang yang dicintai, sesuai dengan tema besar lagu ini.

“Menunggu seseorang yang telah pergi membuat kita menggila, namun kedatangannya selalu menenangkan,” ujarnya.

Kini, Semoga Saja boleh dinikmati di seluruh platform muzik digital bermula 19 September 2025 manakala, video muzik rasminya pula boleh disaksikan di saluran YouTube Ade Govinda.-UTUSAN





Source link