Malaysia Oversight

‘Air mata lelaki jarang kelihatan, tapi luka di hatinya dalam’

By MkiniBM in October 30, 2025 – Reading time 2 minute
'Air mata lelaki jarang kelihatan, tapi luka di hatinya dalam'


PARLIMEN – “Air mata lelaki jarang kelihatan, tetapi luka di hati mereka kadang sangat dalam.”

Itu kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noraini Ahmad, yang menegaskan bahawa golongan lelaki juga tidak terlepas menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Noraini berkata, isu lelaki sebagai mangsa penderaan lebih mencabar kerana ramai daripada mereka enggan tampil membuat aduan akibat rasa malu, takut dan bimbang dipandang rendah.

“Sebenarnya kita selaku masyarakat perlu lebih empati dan tidak menghukum dan kerana itulah LPPKN (Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara) sentiasa memperkukuh outreach seperti kaunseling dan dia (mangsa) boleh pilih kaunselor sama ada lelaki atau perempuan.

“Tapi kalau (Mangsa) lelaki, lebih baik (bertemu kaunselor) lelaki, jadi dia boleh berinteraksi secara selesa dan boleh berkongsi masalah,” katanya.

Noraini (-Parit Sulong) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahmad Fakruddin Fakhrurazi (PN–Kuala Kedah) yang bertanya, “Apakah lelaki selamat di akhir zaman?”

Menyifatkan soalan itu sebagai langka, Noraini berkata kementerian itu akan memastikan mangsa tanpa mengira jantina berada dalam keadaan selamat, selain menegaskan keganasan rumah tangga bukan hanya isu wanita tetapi isu kemanusiaan.

Menurutnya, statistik PDRM menunjukkan sebanyak 1,778 kes keganasan rumah tangga pada 2022 membabitkan mangsa lelaki, diikuti 1,223 kes (2023), 1,865 kes (2024) dan 1,183 kes direkodkan sehingga Julai tahun ini.

Noraini menambah, kementerian itu kini aktif mendekati mangsa dan bukan menunggu mereka datang sendiri untuk mendapatkan bantuan.

“Sebab kempen kesedaran yang dilaksanakan oleh kementerian ini dibuat secara inkulisif. Ia menekankan bahawa keganasan rumah tangga tidak hanya menimpa wanita sahaja tetapi tidak mengira jantina,” ujarnya menambah talian e-Kasih 15999 disediakan bagi memastikan mangsa mendapat perlindungan.

Dalam pada itu, Noraini berkata melalui LPPKN sedang giat melaksanakan satu inisiatif strategik selaras dengan fokus Rancangan Malaysia ke-13 untuk memperkukuh institusi kekeluargaan dan meningkatkan kualiti modal insan negara.

“Inisiatif ini dinamakan Program Lelaki Budiman Negara yang mengandungi pembangunan dan pelaksananaan modul pendidikan lelaki budiman yang secara langsung menyokong mandat LPPKN dalam memperkasa peranan lelaki sebagai suami, bapa dan anggota masyarakat yang bertanggungjawab,” katanya.

Laporan oleh N Faizal Ghazali, Alyaa Alhadjri, Qistina Nadia Dzulqarnain



Source link