PARLIMEN | Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berkata pemberhentian pekerja di Petronas sebahagiannya disebabkan oleh “pertindihan” jawatan akibat penggunaan teknologi baru, termasuk AI.
Berucap di Dewan Rakyat, Anwar berkata proses penstrukturan semula itu turut menawarkan peluang kepada pekerja terlibat untuk mengisi jawatan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang lain.
“Soalnya – Petronas masih mencatat keuntungan, jadi mengapa buang pekerja?
“Alasannya ialah, pertama, soal peralihan keberkesanan menggunakan teknologi baru termasuk AI (kecerdasan buatan), jadi ada pertindihan pekerja,” katanya ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri hari ini.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan Isam Isa (PN-Tampin) yang meminta penjelasan mengenai penstrukturan semula Petronas dan langkah kerajaan untuk membantu pekerja yang terjejas.
Anwar turut menyebut peranan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam menawarkan latihan, serta jaminan Petronas bahawa gaji pekerja terlibat tetap akan dibayar.
“Jadi (penstrukturan) tidak dianggap sesuatu (yang sama) seperti buang pekerja yang biasa,” katanya lagi.

Pada Jun lalu, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata langkah Petronas mengurangkan tenaga kerja berpunca daripada cabaran global dan tidak berkaitan dengan isu syarikat minyak negara itu dengan Petroleum Sarawak Bhd (Petros).
Ia susulan pengumuman pada 5 Jun oleh presiden dan CEO Petronas Tengku Taufik Tengku Aziz, bahawa syarikat itu akan mengurangkan 10 peratus tenaga kerja bagi menghadapi keadaan operasi yang mencabar, khususnya disebabkan kejatuhan harga minyak mentah.
Jual aset di Sudan Selatan
Menyentuh pelan penstrukturan semula Petronas, Anwar turut memaklumkan bahawa syarikat itu baru-baru ini telah menjual asetnya di Sudan Selatan atas faktor keselamatan, ekoran perang yang berterusan di sana.
Namun, Anggota Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal membangkitkan isu itu dalam sidang media di Parlimen kemudian, mendakwa Anwar gagal memberi penjelasan telus mengenai sebab sebenar aset tersebut dijual.

“Selepas Sudan Selatan menjadi negara baru, terpisah daripada Sudan, mereka mengambil alih aset minyak kita dan merancang untuk menjualnya kepada syarikat British, Savannah Energy pada harga yang sangat rendah iaitu hanya RM5.4 bilion.
“Tetapi kerajaan Sudan Selatan tidak melakukannya secara telus… akhirnya Savannah Energy juga tarik diri daripada urus niaga ini, menyebabkan Petronas turut tarik keluar asetnya pada Ogos 2024 selepas perjanjian itu tidak diluluskan oleh kerajaan Sudan Selatan.
“Jadi kerajaan Sudan Selatan telah mengambil alih semua aset asal Petronas tanpa sebarang pampasan.
“Jika Petronas nak mengambil tindakan, ia hanya boleh dilakukan melalui tribunal antarabangsa…ICSID (Pusat Antarabangsa Penyelesaian Pertikaian Pelaburan), dengan peluang yang sangat tipis untuk menang dan dapatkan semula aset kita,” katanya.
Anggota Parlimen Bersatu itu menegaskan keadaan itu telah menyebabkan Malaysia mengalami kerugian RM16 bilion setahun daripada kawasan minyak di Sudan Selatan, yang sepatutnya boleh digunakan untuk membiayai inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
Dia juga mempersoalkan sama ada kerugian di Sudan Selatan turut menjadi punca Petronas membuat keputusan memberhentikan ribuan pekerja dalam pelan penstrukturan terbarunya, serta menggesa kerajaan Malaysia berunding dengan Sudan Selatan untuk mendapatkan semula aset asal Petronas dan pampasan kewangan.
Reuters pada Ogos 2024 melaporkan bahawa Petronas telah memulakan prosiding terhadap kerajaan Sudan Selatan berhubung isu tersebut.
Laporan oleh Alyaa Alhadjri, Dania Kamal Aryf, Haspaizi Zain