Malaysia Oversight

Ahmad Maslan minta bertenang, isu bendera terbalik di Pontian sedang ditangani

By MkiniBM in August 21, 2025 – Reading time 2 minute
Ahmad Maslan minta bertenang, isu bendera terbalik di Pontian sedang ditangani


Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan menggesa orang ramai agar bertenang selepas satu lagi insiden “bendera terbalik”, kali ini di sebuah klinik pergigian di kawasannya.

Dalam catatan Facebook, Ahmad, yang juga timbalan menteri kerja raya, berkata kesilapan itu telah diperbetulkan dan pihak berkuasa berkaitan sedang mengambil tindakan sewajarnya.

Dia berkata, kesilapan itu didakwa dilakukan oleh seorang kakitangan sebuah klinik pergigian yang mendakwa ia tidak disengajakan.

“Doktor gigi dan pekerja wanita itu telah diambil kenyataan oleh polis. Beberapa pihak dan NGO sudah membuat laporan polis,” katanya.

Ahmad menambah, dia telah bercakap dengan polis dan akan bertemu timbalan ketua polis (OCPD) Pontian pada 11.45 pagi hari ini di ibu pejabat daerah.

“Saya sudah bercakap dengan ketua polis daerah yang kini ada urusan keluarga yang sakit di Kedah,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan video viral berdurasi 33 saat menunjukkan Jalur Gemilang dikibarkan terbalik di tingkat dua bangunan kedai tiga tingkat, bersebelahan bendera Johor, yang dipamerkan dengan betul.

Beberapa orang awam dan anggota polis turut kelihatan di hadapan bangunan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian Abd Hamid Abdul Rahaman dilaporkan mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Pencegahan Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Dia juga berkata siasatan awal menunjukkan bahawa kejadian di klinik di Pusat Perdagangan Pontian pada Rabu adalah tidak disengajakan.

Ahmad seterusnya berkata usaha untuk menyelaraskan dengan pihak berkuasa tempatan juga sedang dijalankan.

“Saya telah menghubungi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian, setiausaha majlis dan pegawai daerah untuk memastikan isu ini ditangani dengan betul,” katanya.

Sambil menggesa semua pihak bertenang, Ahmad menegaskan perkara itu sedang disiasat secara menyeluruh.

“Perlu diingat ini bukan soal perkauman. Ia adalah soal kepekaan, ketelitian dan semangat patriotisme.

“Semua kaum dan semua pihak perlu berhati-hati bila melibatkan hal-hal yg sensitif.

“Tugas pihak yang berkuasa pula adalah memastikan undang-undang sentiasa dipatuhi,” kata ahli Majlis Tertinggi itu.

Khamis lalu, lebih 100 penunjuk perasaan, termasuk ahli sayap pemuda dan Bersatu, berkumpul di Kepala Batas, Pulau Pinang, untuk “mengajar” seorang pemilik kedai perkakasan yang menggantung Jalur Gemilang secara terbalik.

Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh yang mengetuai perhimpunan itu kemudiannya disiasat dan akan didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan di mahkamah majistret Bukit Mertajam esok (Jumaat).



Source link