Ketika mesyuarat cawangan Umno di seluruh negara berlangsung, seorang pemimpin kanan parti itu berpesan agar naratif kononnya kerajaan didominasi oleh DAP diperbetulkan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ahmad Maslan, berkata menjadi tanggungjawab pemimpin peringkat bahagian untuk menjelaskan perkara itu bagi menangkis naratif yang dicanang pembangkang.
Katanya penjelasan tersebut mesti disampaikan termasuk kepada kalangan ahli sayap parti.
Dia yang pernah menjadi Setiausaha Agung Umno menegaskan, dakwaan bahawa kerajaan yang disertai Umno dikawal oleh DAP selalu menjadi modal politik apabila ada pilihan raya kecil (PRK) berlangsung.
Katanya dakwaan itu dibuat pihak lawan untuk meraih sokongan dengan memainkan sentimen negatif.
“Penjelasan saya mudah – kerajaan ini tidak terbina hanya atas gabungan Umno dan DAP semata-mata, sebaliknya ia didukung oleh 18 parti yang berbeza,” katanya dipetik Sinar Online di Alor Setar, Kedah hari ini.
Sejak Umno membentuk kerjasama dengan PH menubuhkan kerajaan perpaduan, pihak pembangkang – khususnya PN – sering mendakwa Putrajaya dikawal oleh DAP.
Tuduhan itu turut dimainkan PN dalam PRK Ayer Kuning yang berlangsung pada 26 April lalu. Ia beberapa kali meletakkan kerajaan – termasuk Umno – berada pada kedudukan defensif.
Gesaan itu dipercayai memberi kesan kepada sesetengah pengundi terutama dalam kalangan ahli akar umbi Umno.
Ahmad berkata jika dakwaan pihak lawan bahawa hanya Umno dan DAP yang membentuk kerajaan, jumlah kerusi parlimen yang diwakili kedua-dua parti hanyalah 70 dan ia jauh daripada jumlah minimum 112 yang diperlukan di Dewan Rakyat.
Sedangkan, kata Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, ketika ini kerajaan memiliki 153 kerusi.
“Bermula dengan 148 (selepas PRU ke-15), tolak satu (Muar) menjadi 147.
“Kemudian, enam Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan, menjadikan keseluruhan 153 kerusi,” katanya.
Justeru menurut Ahmad, tuduhan bahawa yang mentadbir negara ketika ini ialah “kerajaan UmDAP” tidak berasas.
“Ada 18 parti bersama kita (kerajaan), jangan hanya baca dua nama (parti),” katanya.
Ahli Parlimen Pontian itu juga mendakwa serangan dilakukan pembangkang hanyalah memainkan sentimen dan tidak berlandaskan kepada fakta, manakala Umno membawa “naratif berasaskan kebenaran”.
“Rakyat memilih berdasarkan siapa yang bercakap benar, bukan sebaliknya.
“Siapa yang bercakap benar, akan menang. Siapa yang berbohong, akan kalah,” katanya.
Untuk rekod, mesyuarat Umno di peringkat cawangan berlangsung sejak 7 April lalu dan berlanjutan sehingga 25 Mei ini, sebelum diikuti dengan peringkat bahagian antara 9 Jun hingga 27 Julai.
Perhimpunan Agung Tahunan Umno pula bakal diadakan dari 20 Ogos hingga 23 Ogos ini.