Kementerian Pendidikan digesa untuk melaksanakan dasar yang menyeluruh berhubung kesihatan psikologi pelajar, termasuk dengan memperkenalkan pendidikan emosi.
Gesaan itu susulan beberapa kejadian ganas yang berlaku di sekolah mutakhir ini, termasuk kes seorang pelajar tingkatan empat yang maut ditikam di Selangor dan seorang pelajar perempuan yang dirogol bergilir-gilir di Melaka.
Profesor madya dalam bidang psikologi, Monna Ong berkata keganasan di sekolah jarang berlaku secara spontan, sebaliknya lazim berpunca daripada emosi yang terpendam lama dan pengasingan sosial.
“Apabila individu tidak mendapat sokongan menerusi perhubungan, komunikasi atau daripada sistem institusi, mereka boleh mencetuskan apa yang dirujuk ahli psikologi sebagai mekanisme daya daya tindak (coping mechanisme) secara luaran, di mana sifat agresif atau tindakan untuk mengawal orang lain menggantikan rasa keupayaan diri.
“Tanpa sokongan psikologi yang mudah diakses di sekolah, emosi yang terkumpul ini akhirnya boleh meledak menjadi tingkah laku yang merosakkan.
“Malangnya, sistem pendidikan Malaysia kekal bersifat reaktif, bukannya mencegah,” katanya dalam kenyataan.
Sistem tiga tahap
Menurut Ong, yang juga pengerusi Jawatankuasa Penasihat Penyelidikan Dasar Awam dan Kesejahteraan Rakyat MCA, sistem sekarang telah mewujudkan benteng terhadap ancaman fizikal tetapi masih mengabaikan risiko psikologi yang berlaku secara perlahan, yang boleh membawa kepada tindakan ganas.
Dia mencadangkan rangka tiga tahap berstruktur untuk memupuk budaya selamat, empati dan kebertanggungjawaban di kalangan pelajar.
Tahap pertama, kata Ong, perlu memberi tumpuan dalam aspek latihan kepada guru agar dapat mengesan secara awal dan membuat penilaian keselamatan di sekolah, serta dalam “amalan berasaskan trauma” bagi membolehkan mereka mentafsir tingkah laku bermasalah sebagai tanda tekanan emosi dan bukannya alasan untuk menghukum.
Untuk tahap kedua pula, Ong mencadangkan agar sekolah mula mengajar pendidikan emosi dan pembelajaran sosial-emosi, yang harus merangkumi subjek seperti pendidikan berkaitan perhubungan, keselamatan digital, serta strategi bantuan kendiri untuk mengurus tekanan dan trauma.
“Melalui pendidikan emosi yang berstruktur, pelajar boleh memupuk kesedaran diri (self-awareness), belajar mengawal emosi mereka, memupuk empati, serta menyelesaikan konflik antara individu dengan cara yang damai.
“Sekolah juga boleh mewujudkan kumpulan sokongan rakan sebaya bagi membolehkan pelajar saling memberi bimbingan serta mengukuhkan budaya kepercayaan dan komunikasi,” katanya.
Mengulas lanjut, Ong berkata tahap ketiga harus menumpukan pada intervensi krisis dan pemulihan psikologi, dengan sekolah mempunyai protokol tindak balas yang jelas mengenai pertolongan cemas psikologi, penyelarasan dengan pihak berkuasa, serta penyesuaian akademik ybagi melindungi mangsa daripada terus mengalami trauma atau berdepan bahaya.
Semalam, seorang pelajar perempuan 16 tahun di sebuah sekolah di Bandar Utama, Selangor maut akibat ditikam oleh seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun.
Ia berlaku hampir dua minggu selepas satu lagi insiden mengejutkan di Melaka, apabila empat remaja ditahan kerana didakwa merogol seorang pelajar Tingkatan Tiga di dalam kelas pada 2 Okt.
‘Berganding bahu, bukan tuding jari’
Sementara itu, Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Nancy Shukri menggesa semua pihak berganding bahu dalam mencari penyelesaian terhadap isu sosial di kalangan remaja.

Walaupun insiden tikam tersebut “amat menyedihkan dan membimbangkan”, Nancy menggesa masyarakat agar tidak menuding jari kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah.
“Kementerian percaya keluarga dan sekolah perlu bergerak seiring memandangkan anak-anak memerlukan kedua-dua institusi ini untuk menjadi benteng kasih sayang dan panduan nilai mereka.
“Dengan cabaran baru yang dihadapi oleh ibu bapa dan kanak-kanak pada hari ini, kami di kementerian ini tidak akan berhenti untuk terus berusaha menambah baik penyampaian perkhidmatan kami.
“Namun, kami tidak mampu untuk bergerak sendirian kerana menangani cabaran ini memerlukan semua pihak untuk memainkan peranan masing-masing — bukan sahaja memperkukuh dasar dan program, tetapi juga menyokong institusi keluarga dan komuniti melalui pendekatan yang lebih empatik.
“Akhir sekali, marilah kita semua — ibu bapa, guru, masyarakat dan kerajaan — melihat tragedi ini sebagai panggilan untuk bertindak bersama. Menuding jari tidak akan menyelesaikan masalah.
“Apa yang diperlukan adalah kasih sayang, keprihatinan dan tindakan bersama demi melindungi dan membimbing generasi muda kita,” katanya lagi.






