PARLIMEN | Kes kematian pelajar tingkatan satu sekolah agama di Papar, Zara Qairina Mahathir menjadi sorotan wakil rakyat dalam perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.
Antaranya Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) yang membangkitkan lapan persoalan berkaitan kejadian yang dilaporkan berlaku di asrama sekolah terbabit pada 16 Julai lalu.
Saifuddin antara lain membangkitkan dakwaan yang pengetua sekolah berkenaan mempunyai pertalian keluarga dengan seorang individu VVIP (orang kenamaan).
“Adakah perkara ini benar, dan jika ya, sejauh manakah ia memberi kesan terhadap proses siasatan dan ketelusan pengurusan kes ini?
“Saya berharap agar kes Zara diberikan penyelesaian undang-undang yang adil dan telus. Ini amat penting untuk keluarganya yang mengalami kehilangan dan kesedihan yang amat sangat.
“Juga untuk menamatkan khabar angin yang tersebar berkaitan kes ini, yang juga membuka kembali cerita-cerita lama tentang sesetengah kes kematian yang terdahulu,” kata Saifuddin ketika membahaskan Rang Undang-undang Akta Pendidikan (Pindaan) 2025.
Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) kemudian bangun mencelah dan memaklumkan orang kenamaan yang dimaksudkan didakwa seorang ahli Parlimen.

“Saya dapat maklumat juga yang mengatakan pengetua sekolah itu mempunyai kaitan dengan VVIP yang ada di dalam dewan ini,” katanya.
Zara Qairina, 13 tahun, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) di Kota Kinabalu pada jam 11 tengah hari, 17 Julai lalu.
Pelajar itu dibawa ke hospital untuk dirawat selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolah pada jam empat pagi, sehari sebelumnya.
Kejadian itu tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi selepas ia dikaitkan dengan kejadian buli yang didakwa berlaku di sekolah berkenaan.
Perhatian terhadap kes itu kian meningkat apabila pengguna Facebook dengan nama akaun Syira Leizel Janice Abdullah, yang mendakwa dirinya sebagai ahli keluarga arwah Zara, berkongsi kronologi kes daripada perspektif keluarga.
Walaupun pihak keluarga membangkitkan keraguan mengenai keadaan kematian arwah serta dakwaan ada usaha untuk menutup kes itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memberi jaminan bahawa kementeriannya akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan siasatan polis.

Sementara itu, Matbali Musah (GRS-Sipitang) berkata pemergian Zara Qairina lebih menyayatkan hati apabila kes itu hanya mendapat perhatian selepas segalanya sudah terlambat.
“Persoalannya berapa ramai lagi anak-anak kita yang dibuli harus patah semangat, sebelum tindakan diambil.
“Sehubungan itu saya bukan sahaja sebagai orang ahli Parlimen, sebagai seorang ayah, sebagai seorang rakyat marhaen, menggesa agar isu buli ditangani dengan tindakan proaktif.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan harapan waris Zara Qairina yang beberapa kali memohon kepada pihak berkaitan agar menyegerakan siasatan dan memaklumkan laporan kepada mereka,” katanya.
Dia juga mencadangkan penubuhan unit antibuli di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Laporan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Alyaa Alhadjri, N Faizal Ghazali