Wartawan veteran, A Kadir Jasin, mengingatkan segelintir ahli akademik Melayu yang cenderung membuat dakwaan luar biasa tanpa bukti kukuh agar tidak lagi berbuat demikian.
Sebaliknya Tokoh Wartawan Negara itu menggesa agar golongan terbabit menumpukan tenaga dan perhatian mereka kepada isu-isu asas masyarakat seperti ekonomi, politik, bahasa dan akhlak.
Katanya ada juga pihak yang berpendapat langkah ahli akademik membuat kenyataan secara semberono itu adalah hak mereka atas dasar tradisi keintelektualan yang tidak ada batasan.
Institusi pengajian tinggi pula dianggap sebagai tempat untuk kebebasan sebegitu digalakkan dan dijamin.
“Tetapi saya rasa, lebih bermanfaat kalau cendekiawan Melayu menumpukan lebih banyak masa kepada isu-isu pokok seperti kedaifan ekonomi Melayu, politik Melayu yang huru-hara, bahasa Melayu yang semakin rosak dan akhlak Melayu yang bertambah buruk.
“Apabila semua itu bertambah baik, barulah kita dabik dada macam gorila jantan menang gusti atau melaung macam Tarzan menggoda Jane.
“Pada masa itu, barulah hujah-hujah kita yang asing dan luar biasa akan jadi lebih berwibawa dan dipercayai oleh lebih ramai orang,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Kadir berkata demikian dengan merujuk kepada kontroversi melibatkan seorang ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang sebelum ini mendakwa orang Melayu telah mengajar tamadun Rom kuno cara-cara membina kapal.
Kenyataan profesor bahasa Arab itu kemudian tular dan mencetuskan perdebatan hangat di media sosial termasuk dalam kalangan ahli akademik bidang sejarah.
Untuk rekod ia bukanlah kontroversi pertama melibatkan Prof Solehah Yaacob. Sebelum ini dia juga pernah mendakwa orang Melayu memiliki ilmu terbang dan mempengaruhi seni bela diri kung fu China.
Dia juga pernah mendakwa salah seorang isteri Nabi Ibrahim AS merupakan orang Melayu.
Menurut Kadir walaupun ahli akademik terbabit mendakwa hujah yang dikeluarkan itu merupakan hipotesisnya bersumberkan teks Arab klasik, ia masih belum memenuhi piawaian penyelidikan saintifik yang sahih.
“Hipotesis ialah tekaan berasaskan pengetahuan yang perlu diuji melalui penyelidikan atau eksperimen. Ia bukan penemuan saintifik,” jelasnya.
Menurut Kadir, sumber lama tidak semestinya benar – seperti hikayat Melayu yang mendakwa raja-raja dahulu turun dari kayangan, sedangkan al-Quran hanya menyebut Nabi Adam dan Hawa sebagai manusia turun ke bumi.
Katanya lain, walaupun universiti harus menjadi ruang kebebasan intelektual ia sepatutnya diimbangi dengan tanggungjawab akademik.
Katanya, hujah dan teori yang asing atau luar biasa hanya akan berwibawa apabila masyarakat Melayu memperkukuh asas sosioekonomi dan moralnya terlebih dahulu.






