MUKTAMAR PAS | Ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) kini diserap menjadi ahli bersekutu parti itu, kata Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.
Dalam ucapan pembukaan pada Muktamar Tahunan PAS ke-71 di Kedah pagi ini, Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, perkara itu diputuskan selepas Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan pindaan perlembagaan PAS bagi menerima bukan Islam sebagai ahli bersekutu.
Menurut Takiyuddin, jumlah keahlian parti kini telah meningkat kepada 1.3 juta orang.
“Sukalah saya memaklumkan pada sidang hadirin sekalian, bahawa kini keahlian PAS telah ditambah lagi dengan satu lagi kategori keahlian baru, iaitu ahli bersekutu PAS apabila ROS meluluskan pindaan perlembagaan PAS mulai Ogos 2025 lalu.

“Mengikut fasal 10 pindaan 2025, syarat jadi ahli bersekutu PAS, selain warganegara dan umur tak kurang 18, mereka hendaklah beragama selain daripada Islam.
“Berikutan kategori baru ini, semua ahli DHPP berstatus rakan PAS atau friends of PAS, automatik diserap jadi ahli PAS dalam kategori ahli bersekutu PAS.
“Berikutan itu juga, DHPP yang hanya jadi sayap tak rasmi, dengan rasminya akan jadi salah satu sayap baru PAS bersama As-Sabiqun (veteran PAS) dan tiga sayap lain sedia ada.
“Selamat datang rakan-rakan, sahabat kami ke PAS,” katanya.