Seorang Adun Bersatu berkata, isu surat layang membabitkan salah seorang pemimpin penting parti berkenaan mengundang banyak tanda tanya dan wajar ditangani segera oleh pihak yang berkenaan.
Menurut Azmi Alang berkata isu yang mengaitkan Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, itu bukan perkara ringan kerana melibatkan dakwaan serius menyentuh aspek integriti pemimpin Bersatu.
Tambah Azmi dalam surat layang berkenaan, Hamzah – yang juga ketua pembangkang – dituduh menjadi “broker” bagi melaksanakan agenda tertentu.
“Samalah seperti isu broker dalam parti. Ini isu yang amat serius. Parti perlu membuat siasatan.
“Tidak boleh kita tolak mentah-mentah kandungan surat ini kerana ia melibatkan kepentingan parti.
“Jika Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu tidak menyiasat dakwaan yang dibuat, lebih banyak spekulasi dan tuduhan dibuat,” katanya yang juga Adun Telok Ayer Tawar di Pulau Pinang.
Semalam Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai kewujudan surat layang yang memburuk-burukkan Hamzah. Ia didedahkan Ketua Bersatu Hang Tuah Jaya, Mohd Azrudin Md Idris beberapa hari lalu.
Antara lain surat tersebut – yang muncul menjelang perhimpuan agung tahunan parti berkenaan – mendakwa Hamzah membuat percaturan untuk menjatuhkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Surat layang yang beredar melalui WhatsApp itu juga mendakwa Hamzah sebagai “broker” yang menggerakkan cadangan penubuhan Majlis Eksekutif PN.

Penyebaran surat itu didakwa menggunakan nombor telefon tempatan dan juga dari Thailand.
Kata Azmi seandainya selepas siasatan dibuat dan terbukti tuduhan dilempar itu tidak berasas, ia akan membersihkan nama Hamzah dan tidak timbul lagi isu broker dan pengkhianat.
Dengan itu, katanya, Bersatu akan bertambah kuat.
Sebaliknya, kata Azmi yang juga Ketua Bersatu Tasek Gelugor, kalau dakwaan tersebut benar, ahli perlu tahu siapa orang yang dimaksudkan dan apa yang sudah dilakukannya.
“Kalau ia satu pengkhianatan, MPT dan lembaga disiplin mesti mengambil tindakan yang tegas supaya parti tidak digadaikan kepada pihak musuh.
“Broker dan pengkhianat tidak boleh dibiarkan berada di dalam parti dan merosakkan parti.
“Saya percaya ahli-ahli Bersatu hendak mengetahui kebenaran mengenai perkara ini,” katanya.