AGM pertama Majlis Media Malaysia tandakan kemajuan industri media dengan 50% ahli wanita dan 12 ahli lembaga dipilih.
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menyifatkan Mesyuarat Agung Tahunan pertama Majlis Media Malaysia sebagai titik bersejarah dalam usaha memperkukuh institusi media negara.
Beliau berkata penganjuran AGM itu berjaya dengan penyertaan menyeluruh pengamal media seluruh negara.
“Tahniah dan syabas bukan sahaja kepada mereka yang dipilih tetapi kepada semua rakan media yang sudi meluangkan masa menjayakan AGM hari ini,” katanya kepada pemberita selepas AGM.
Teo menyatakan rasa bangga apabila separuh ahli majlis yang dipilih terdiri daripada wanita, menunjukkan kekuatan golongan tersebut dalam industri media.
ALSO READ: Majlis Media Malaysia perlu jelaskan proses akreditasi kepada semua media
“Saya sebagai pemimpin wanita sangat bangga kerana antara mereka yang dipilih, 50% adalah wanita,” katanya.
Beliau menekankan kuasa wanita dalam industri media sangat kuat dan industri ini progresif dalam memberi peluang sama rata kepada kedua-dua jantina.
Teo berkata penubuhan MMM diharap menjadi platform meningkatkan profesionalisme dan etika pelaporan dalam era digital.
“Kita perlu MMM untuk menasihati industri supaya menjadi lebih profesional dan boleh rujuk kepada MMM untuk pandangan lebih profesional,” katanya.
Beliau menambah literasi media penting membantu masyarakat membezakan laporan berkualiti dan sumber berita boleh dipercayai.
Sebanyak 12 individu dipilih menganggotai Lembaga MMM mewakili tiga kategori berbeza.
Mereka yang dipilih bagi kategori syarikat media ialah C Premesh, Farrah Naz Abd Karim, Datin Paduka Esther Ng Sek Yee dan Wong Yang Yong.
Bagi kategori wartawan dan persatuan media, ahli dipilih ialah Mohamad Fauzi Ishak, Mariah Airens Doksil, Mohd Ishak Abdillah Ngah dan Adie Suri Zulkefli.
Kategori orang awam dan NGO diwakili Zaharom Nain, Terence Ooi Guan Tseng, Cynthia Lorraine Silva dan Medina Mahmood.
MMM merupakan badan bebas ditubuhkan sebagai mekanisme kawal selia kendiri industri media negara.
Badan ini berperanan mempromosikan etika kewartawanan dan kebebasan media. – Bernama
Post Views: 1






