Parti Bersatu Untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai) menyifatkan tindakan Umno yang menurutnya lepas tangan berhubung kemelut yang dihadapi sekutunya, MCA dan MIC, sebagai tidak jujur.
Ia susulan kenyataan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi yang menasihati MCA agar kekal sebagai “rakan setia” dalam BN.
Puad juga berkata rasa tidak puas hati yang diluahkan oleh kepimpinan MCA tidak seharusnya membawa kepada tindakan menyalahkan BN atau menarik diri daripada gabungan itu.
Namun Pengerusi Penaja Urimai, P Ramasamy berkata dominasi Umno terutamanya dalam soal kaum dan agama telah menghakis pengaruh sekutunya dalam kalangan kaum lain.
“Apabila Umno mengejar agenda etnoagama yang sempit, ia mewujudkan iklim politik di mana MCA dan MIC bergelut untuk mengekalkan kredibiliti dalam komuniti masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 28 April lalu, Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon, menggesa partinya untuk menentukan hala tuju sendiri jika BN terus berlengah dalam membuat keputusan jelas tentang hala tujunya.
Chong berkata MCA telah memberikan BN lebih dua tahun untuk membuat penyusunan semula selepas PRU15, namun ketidaktentuan berterusan dalam BN telah menyebabkan ahli-ahli MCA berasa kecewa dan ragu-ragu.
Sekiranya BN masih gagal memberikan hala tuju yang jelas, MCA mesti mengambil inisiatif untuk menentukan hala tuju sendiri, katanya seperti dipetik Sin Chew Daily.
Dua hari kemudian, Puad berkata walaupun kebimbangan MCA boleh difahami, namun ia tidak seharusnya meletakkan kesalahan kepada BN.
“Kenapa masa PRU15 MCA hanya menang dua kerusi? Itu pun ketika BN bertanding solo, belum lagi bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Hubungan Umno-PH tidak membantu
Dalam hal ini, Ramasamy berkata BN kini tidak lagi memiliki kekyatan seperti dulu, dengan Umno sendiri semakin lemah akibat perpecahan dalaman dan persaingan daripada parti-parti Melayu lain.
Kata bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu, keadaan menjadi lebih rumit selepas BN bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan selepas PRU15.
“Bekerjasama dengan PH, terutamanya DAP, dilihat sebagai satu pengkhianatan, khususnya dalam kalangan pemimpin dan penyokong MCA serta MIC,” tambah Ramasamy.
Bekas pemimpin DAP itu berkata mungkin sudah tiba masanya untuk MCA dan MIC mengakui bahawa BN dalam bentuknya sekarang bukan lagi wadah yang bermakna untuk mewakili komuniti mereka.
“Sikap tunduk dalam secara politik dan budaya sejak sekian lama terhadap Umno telah menyebabkan parti-parti ini kehilangan inisiatif dan maruah.
“Jalan ke hadapan mesti melibatkan muhasabah yang serius dan keberanian untuk keluar daripada gabungan yang tidak lagi menjaga kepentingan mereka.
“Hanya dengan itu MCA dan MIC boleh berharap untuk kembali relevan dan berhubung semula dengan akar umbi mereka,” katanya lagi.