Malaysia Oversight

AGC terima representasi CEO GISBH, 21 individu lain

By MkiniBM in October 30, 2025 – Reading time 2 minute
AGC terima representasi CEO GISBH, 21 individu lain


Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi dikemukakan Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali, bersama 21 individu lain untuk mengkaji pertuduhan mereka atas dakwaan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Timbalan pendakwa raya (TPR) Shafiq Hasim memaklumkan perkara itu ketika prosiding kes di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Latifah Mohd Tahar, yang bersidang di Kompleks Penjara Kajang hari ini.

Shafiq yang mengendalikan kes bersama Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim berkata, AGC telah meneliti dan menerima representasi berkenaan, serta menawarkan pertuduhan pilihan terhadap semua tertuduh mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

“Memandangkan perkara ini baru dimaklumkan kepada peguam bela, pendakwaan memohon agar mahkamah menetapkan tarikh baru dalam masa terdekat,” katanya yang tidak mendedahkan secara terperinci butiran pertuduhan pilihan tersebut.

Peguam Rosli Kamaruddin yang mewakili semua tertuduh mengesahkan pihaknya dimaklumkan mengenai representasi berkenaan dan berterima kasih kepada AGC atas peluang yang diberikan.

Latifah kemudian menetapkan 7 Nov ini untuk sebutan semula kes tersebut dan pada tarikh sama juga, pertuduhan pilihan akan dibacakan kepada semua tertuduh.

Ditemui pemberita selepas prosiding, Rosli berkata pihaknya menghantar representasi kepada AGC pada 26 Mei lalu yang mencadangkan beberapa pertuduhan, antaranya mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

“Kami telah berbincang dengan semua anak guam dan mereka akan menerima pertuduhan pilihan itu.

“Kami akan membuat mitigasi dan menyerahkan kepada mahkamah untuk pertimbangan,” katanya yang turut dibantu peguam Muhammad Zaim Rosli dan Boestamam Ahmad.

Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 ialah berhubung kesalahan bagi mana-mana orang menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan kes itu bermula 17 hingga 21 Nov ini.

Pada 23 Okt 2024, Nasiruddin, 66; isterinya Azura Md Yusof, 58; dan 20 individu lain didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di sebuah premis di Bandar Country Homes, Rawang antara Okt 2020 hingga 11 Sept 2024.

Turut didakwa bersama Nasiruddin dan Azura ialah anak bekas pengasas Al-Arqam Mohammad Adib At-Tamimi Asaari, 33.

Tertuduh lain ialah Mohd Shukri Mohd Noor, 54; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd Fazil Md Jasin, 58; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35; Mokhtar Tajuddin, 61; Muhammad Fajrul Khalid, 29; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35; Shuhaimi Mohamed, 57; Hasnan Abd Hamid, 54; dan Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52.

Turut dituduh dalam kes itu ialah Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nur Jannah Omar, 33; Hamimah Yakub, 72; Asmat@Asmanira Muhammad Ramly, 45; Nurul Jannah Idris, 29; Siti Salmiah Ismail, 58; Siti Hajar Ismail, 52; dan Mahani Kasim, 55.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan.

Bernama



Source link