Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak bercadang untuk mendakwa inidividu lain berhubung kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, sehingga prosiding inkues kes berkenaan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu selesai.
Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar berkata setakat ini hanya lima pelajar perempuan yang didakwa berhubung kes tersebut.
“Setakat ini, kita (AGC) tiada cadangan untuk menuduh mana-mana suspek sehingga prosiding inkues selesai…yang kita teliti baru-baru ini hanya lima pelajar perempuan yang kita tuduh.
“Apabila inkues selesai kita akan melihat semula, itu pun bergantung kepada keputusan inkues yang sedang berlangsung di Kota Kinabalu. Sekarang dalam proses keterangan yang diberikan oleh pakar patalogi, Alhamdulillah, ia berjalan lancar,” katanya.
Mohd Dusuki berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Kampung Angkat Madani AGC di Padang Awam Taman Desa Kemumin, Kampung Padang Tembak Kota Bharu hari ini.

Katanya AGC juga akan meneliti secara menyeluruh segala kandungan berkaitan kes kematian Zara Qairina yang dimuat naik di media sosial termasuk TikTok.
”Kita akan kaji dahulu (kandungan) sebelum ambil apa-apa tindakan selanjutnya. Buat masa ini proses masih berjalan dan kita akan teliti satu per satu.
“Apa yang kami harapkan, biar proses inkues itu berjalan. Jangan terburu-buru mahu mengeluarkan komen atau apa-apa keputusan.
“Beri (masa) pakar patologi memberi keterangan sepenuhnya…kita tahu sesetengah pihak ada pertikai keterangan (patologi), itu tidak elok,” katanya.
Ditanya jika prosedur inkues akan dipercepatkan, Mohd Dusuki berkata, prosiding itu sudah ditetapkan dalam tempoh tertentu dan akan berlangsung sebagaimana mengikut perancangan.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai. Dia dimasukkan ke hospital sehari sebelumnya selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar kira-kira jam 4 pagi.
Pada 13 Ogos lalu AGC mengumumkan inkues akan dijalankan berhubung kematiannya selepas meneliti laporan siasatan polis. Sebelum itu pada 8 Ogos, AGC mengarahkan kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.
Lima remaja perempuan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah pada 20 Ogos lalu atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pelancaran Kampung Angkat Madani di padang awam berkenaan merupakan kampung angkat kedua AGC selepas kejayaan di Kampung Jilid 8 dan Rangkaian Mukim Bujang, Sungai Petani, Kedah pada tahun lalu.
– Bernama