Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini mengecam tindakan bekas perdana menteri, Najib Razak, yang memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap bekas peguam negara, Terrirudin Mohd Salleh.
AGC menyifatkan tindakan itu satu penyalahgunaan proses mahkamah dan secara langsung melanggar perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sebelum ini memutuskan supaya semua prosiding berkaitan titah adendum — yang mengarahkan baki hukuman penjara enam tahun Najib dilaksanakan di bawah tahanan rumah — ditangguhkan.
“Untuk penjelasan, isu yang dibangkitkan dalam permohonan tersebut kini merupakan subjek rayuan yang masih belum diputuskan di Mahkamah Persekutuan, yang telah ditetapkan untuk pendengaran pada 1 dan 2 Julai 2025, berkaitan Permohonan Semakan Kehakiman No. WA-25-136-04/2024. Isu-isu yang dijadikan asas kepada permohonan komital akan dihujahkan secara menyeluruh dalam prosiding rayuan tersebut.
“Mahkamah Tinggi pada 28 April 2025 telah membenarkan penangguhan terhadap semua prosiding sehingga keputusan rayuan tersebut diselesaikan oleh Mahkamah Persekutuan.

“Pada 22 Mei 2025, Mahkamah Tinggi turut mengesahkan secara bertulis bahawa penangguhan tersebut meliputi semua prosiding sedia ada dan akan datang yang berkaitan dengan kes ini, termasuk prosiding penghinaan mahkamah.
“Sebarang cubaan untuk memulakan atau meneruskan prosiding penghinaan semasa perintah penangguhan masih berkuat kuasa merupakan satu tindakan yang secara langsung melanggar perintah Mahkamah dan menjejaskan pentadbiran keadilan yang teratur,” menurut kenyataan itu.
AGC turut menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk memohon agar permohonan Najib diketepikan oleh mahkamah.
Jabatan Peguam Negara juga mempertahankan Terrirudin, berkata bekas peguam negara itu menjalankan tugasnya selaras dengan fungsi perlembagaan jawatannya.

“Dakwaan bahawa beliau telah mengelirukan mahkamah adalah tidak berasas sama sekali dan kini sedang diteliti oleh badan kehakiman tertinggi negara.
“Tindakan untuk memulakan prosiding komital sementara rayuan ini masih berjalan adalah tidak wajar, pramatang, dan prejudis,” kata AGC lagi.
Terdahulu hari ini, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah mengumumkan pada satu kenyataan bahawa pihaknya memfailkan permohonan untuk menyabitkan Terrirudin atas penghinaan mahkamah.
Permohonan itu berkait tindakan Terrirudin pada tahun 2024, ketika dia masih menyandang jawatan peguam negara, yang enggan mendedahkan kewujudan titah adendum yang mengarahkan Najib menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah.