PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menfailkan Notis Rayuan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu semalam terhadap alasan penghakiman berhubung hak 40 peratus hasil Sabah.
Ia khususnya berkaitan beberapa kekhilafan dalam Alasan Penghakiman oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu antara lain mendakwa bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri telah menyalahgunakan kuasa serta melanggar kewajiban Perlembagaan.
“Jabatan ini sekali lagi ingin menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak merayu berhubung isu Pemberian Khas Sabah berdasarkan kadar 40 peratus hasil.
“Ia akan terus memulakan rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah sesegera mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, rayuan terhadap alasan penghakiman berhubung hak 40 peratus hasil Sabah dibuat bagi mengelakkan salah tanggapan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri sejak 1974 dan tindakan di luar serta melanggar Perlembagaan.
Perdana Menteri berkata, alasan penghakiman yang mendakwa kajian semula pemberian khas selepas 2021 menyalahi undang-undang dan tidak rasional serta mengaitkan kesilapan besar kerajaan sejak 1974 seolah-olah menyalahkan kerajaan terdahulu.
Katanya, ini seolah-olah menghukum semua kerajaan daripada era Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, hinggalah sekarang termasuk kerajaan negeri Sabah di bawah Tun Datu Mustapha dan Tun Fuad Stephens.
Anwar berkata, tindakan kerajaan hanya tertumpu kepada memperbetulkan alasan penghakiman tersebut dan bukan komitmen pelaksanaan hak Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut Perdana Menteri, Kementerian Kewangan melalui Perbendaharaan telah menghantar surat rasmi kepada kerajaan sementara Sabah bagi memulakan rundingan teknikal berhubung pemberian khas 40 peratus hasil negeri itu, sebelum terbentuknya kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau berkata, langkah itu menandakan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memperkukuh pelaksanaan hak-hak Sabah seperti termaktub dalam Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, laporan hasil rundingan itu nanti akan dibawa ke Jawatankuasa Teknikal Tertinggi MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri II, sebelum dibawa ke Majlis Tindakan MA63 yang pengerusikan beliau sendiri. – UTUSAN






