Malaysia Oversight

AGC fail rayuan terhadap pembebasan Chegubard

By MkiniBM in November 4, 2025 – Reading time 1 minute
AGC fail rayuan terhadap pembebasan Chegubard


Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur yang membebaskan Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson Badrul Hisham Shaharin daripada pertuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah yang boleh menjejaskan nama baik Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan notis rayuan terhadap keputusan di akhir kes pendakwaan itu difailkan setelah mempertimbangkan keputusan Mahkamah Sesyen pagi ini.

“AGC merujuk kepada keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada hari ini yang telah melepaskan dan membebaskan tertuduh Badrul Hisham Shahrin atau dikenali sebagai Chegu Bard tanpa dipanggil membela diri di akhir kes pendakwaan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan [Akta 574] dan dibaca bersama Seksyen 500 Akta 574.

“AGC telah memfailkan Notis Rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari ini bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan itu,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen Norma Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Badrul Hisham, 46.

Pada 29 April 2024, Badrul Hisham didakwa telah mengeluarkan kenyataan fitnah, dengan ada sebab untuk mempercayai bahawa kenyataan fitnah itu akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara di Kuala Lumpur pada 6 petang, 22 Jan 2024, mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bernama



Source link