Malaysia Oversight

AGC bertindak mengikut Perlembagaan dalam kes Zahid

By Utusan in January 8, 2026 – Reading time 2 minute
AGC bertindak mengikut Perlembagaan dalam kes Zahid


BANDAR BAHARU: Jabatan Peguam Negara (AGC) berhak bertindak mengikut peruntukan undang-undang apabila memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Peguam Negara untuk menentukan sama ada sesuatu kes wajar diteruskan atau sebaliknya.

“Yang saya faham peruntukan Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 145 adalah kuasa Peguam Negara untuk mendakwa atau tidak mendakwa. Itu yang saya faham dari segi prinsip Perlembagaan Persekutuan.

“Maknanya itu memang jurisdiction Peguam Negara, sama ada apa pun keputusan yang dibuat saya percaya bahawa itu dibuat dalam ruang perundangan mengikut kuasa Peguam Negara yang telah diperuntukkan mengikut Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui selepas Program Kembali ke Sekolah 2026 di Dewan Seri Serdang, hari ini.

Saifuddin bagaimanapun berkata, beliau tidak berhasrat mengulas lanjut mengenai perkara itu sehingga memperoleh maklumat yang lebih terperinci.

Terdahulu akhbar ini melaporkan, AGC memutuskan NFA akan diambil berhubung kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana milik Yayasan Akalbudi membabitkan Ahmad Zahid.

AGC berkata, keputusan ini dengan sekaligus membawa kepada penamatan muktamad kes berkenaan selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.

“Jabatan ini menegaskan bahawa keputusan yang diambil adalah berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan serta keperluan untuk memastikan kepastian dan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah,” kata AGC dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin yang turut mengadakan lawatan ke Pejabat Imigresen Kulim yang baharu berkata, operasi jabatan itu di premis yang lebih luas dan selesa mengatasi rungutan orang ramai berhubung kesesakan, kekurangan parkir dan ketidakselesaan di lokasi lama yang terletak di deretan rumah kedai.

Katanya, penempatan semula itu bertujuan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, selaras dengan keperluan semasa yang menyaksikan peningkatan jumlah urusan berkaitan pasport, sempadan dan pengurusan pekerja asing.

“Lokasi strategik pejabat baharu ini bukan sahaja memberi kelegaan kepada penduduk Kedah Selatan, malah kepada rakyat Pulau Pinang yang boleh menggunakan laluan lebuh raya berhampiran untuk berurusan khususnya pada hujung minggu, sekali gus mengurangkan kesesakan di pejabat imigresen lain,” katanya. – UTUSAN





Source link