Mahkamah Tinggi menolak permohonan Peguam Negara untuk mendapatkan perintah larangan (gag order) dan perintah perlindungan yang akan mengehadkan maklumat serta dokumen berkaitan usaha tahanan rumah bekas perdana menteri Najib Razak daripada disebarkan kepada orang awam.
Hakim Alice Loke Yee Ching menolak permohonan itu hari ini selepas mendapati tiada risiko sebenar dan substantif terhadap keadilan perbicaraan sekiranya kes tersebut dilaporkan atau dijalankan secara terbuka di mahkamah.
“Saya sedar perlunya keseimbangan yang teliti antara objektif perintah larangan dan kebebasan bersuara serta ekspresi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
“Saya tidak fikir wujud risiko sebenar terhadap keadilan perbicaraan jika gag order (perintah larangan) tidak dikeluarkan kerana terlalu banyak yang sudah diperkatakan di ruang awam mengenai perkara ini.
“Saya mendapati terdapat langkah alternatif yang mencukupi untuk menangani kebimbangan yang cuba dihadkan melalui gag order, seperti undang-undang penghinaan mahkamah atau fitnah,” katanya.
Selepas mempertimbangkan tujuan permohonan tersebut, Loke berkata terma perintah larangan dalam permohonan itu terlalu luas.
“Saya tidak mendapati gag order itu perlu secara keseluruhan, atas sebab-sebab ini.
“Saya tidak berhasrat untuk meluluskan kedua-dua perintah tersebut. Permohonan ini dengan itu ditolak,” katanya.