Malaysia Oversight

Afnan doakan Asyraf Wajdi menang PRU, ganti Fadhlina jaga KPM

By MkiniBM in August 12, 2025 – Reading time 3 minute
Afnan doakan Asyraf Wajdi menang PRU, ganti Fadhlina jaga KPM


PARLIMEN | Asyraf Wajdi Dusuki sepatutnya mengambil alih jawatan menteri pendidikan ekoran kegagalan Fadhlina Sidek gagal menangani isu buli di sekolah dengan berkesan, dakwa kata Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Kata Afnan pada pandangannya Pengerusi Mara itu adalah calon yang sesuai menduduki jawatan berkenaan kerana dilihat lebih berkemampuan membanteras kes buli di sekolah.

“(Asyraf) kata enam pelajar (yang terlibat dalam kes buli di Maktab Rendah Sains Mara – MRSM) telah dibuang sekolah serta-merta. Saya rasa dia patut jadi menteri pendidikan.

“Satu-satunya masalah ialah dia belum menang (kerusi Parlimen).

“Saya berdoa supaya dia menang dalam pilihan raya akan datang supaya dapat menggantikan menteri pendidikan sedia ada,” kata Afnan Hamimi pada sidang media di parlimen hari ini.

Sebelum ini MRSM mengumumkan tindakan disiplin yang tegas diambil terhadap beberapa pelajar institusi pendidikan Mara berkenaan selepas mereka didapati terlibat dalam kejadian buli.

Antara mereka ialah enam pelajar dari sebuah MRSM di Melaka.

Selain itu pelajar MRSM Besut di Terengganu juga dibuang pada Jun lalu selepas membuli secara fizikal seorang pelajar berusia 14 tahun, manakala pada April, sebuah MRSM di Pulau Pinang membuang tujuh pelajar kerana sebab yang sama.

Asyraf Wajdi turut mencabar secara terbuka ibu bapa pelajar MRSM yang bercadang menyamannya selepas anak mereka dibuang sekolah kerana kes buli.

Cadangkan gubal akta

Merujuk kepada kebimbangan berterusan orang awam terhadap kematian pelajar tingkatan satu sebuah sekolah agama di Sabah, Zara Qairina Mahathir, Afnan Hamimi menegaskan, Fadhlina dilihat tidak berminat untuk meredakan kebimbangan ibu bapa.

“Orang ramai semakin bimbang untuk menghantar anak ke sekolah, dan semakin hilang kepercayaan terhadap institusi pendidikan kita.

“Pada masa yang sama, menteri pendidikan memberi jaminan bahawa sekolah kita masih selamat, tetapi masyarakat tidak mahu sekadar mendengar jaminan lisan sahaja kerana keadaan sudah serius, dengan banyak kes buli telah berlaku di sekolah,” katanya.

Sementara itu, Afnan Hamimi memaklumkan Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, menolak usul yang dikemukakannya minggu lalu untuk membahaskan isu berkaitan kematian Zara Qairina.

Katanya Johari memaklumkan bahawa kementerian-kementerian berkaitan akan menjawab kes tersebut dalam ucapan penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 yang dijadualkan minggu depan.

f2b3ddf65bdafde0cd325542dfca90e9
Fadhlina Sidek

“Saya tidak selesa kalau usul ini tidak dibenarkan kerana kementerian hanya mempunyai masa terhad untuk ucapan penggulungan dan banyak isu lain yang perlu mereka tumpukan,” katanya.

Justeru dia yang juga Ketua Pemuda Pusat menggesa supaya diadakan sesi penjelasan khas menteri mengenai kes tersebut, sambil menegaskan banyak persoalan penting mengenai kematian Zara Qairina dan cara pihak berkuasa mengendalikan kes itu belum terjawab.

Tambahan pula, katanya, tiada penjelasan mengapa bedah siasat tidak dilakukan ke atas mayat remaha terbabit sejurus selepas kematiannya, dan mengapa polis tidak menahan atau mereman suspek dalam kes tersebut walaupun dilaporkan telah menyoal kira-kira 60 saksi.

Dia juga mendakwa terdapat dakwaan bahawa guru-guru di Sabah dilarang memberi komen mengenai kes tersebut atau sebarang insiden buli sekolah di negeri itu.

74b2c8b5883dd1cd633f7ca22058ddd4

“Kalau (Fadhlina) belum fikir bagaimana Kementerian Pendidikan Malaysia akan menangani isu ini, kami ada beberapa cadangan.

“Antaranya menggubal akta antibuli dan menubuhkan jawatankuasa khas kabinet untuk menangani isu buli,” tambahnya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Lantikan dari Sabah, Aliakbar Gulasan, yang berkata himpunan terbaru di negeri itu bagi menuntut keadilan untuk Zara Qairina menunjukkan perpaduan rakyat dalam isu tersebut.

Menyifatkan himpunan itu sebagai “bersejarah”, dia yang juga ahli Jawatankuasa Pusat itu memberi amaran bahawa jika tidak diselesaikan segera, ia boleh mencetuskan “kebangkitan luar biasa” rakyat.

Pada malam Jumaat, ribuan orang berkumpul di beberapa bandar di Sabah menuntut keadilan untuk Zara Qairina selepas kematiannya bulan lalu mencetuskan kemarahan berhubung kes buli di sekolah.

Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah asrama sekolahnya di Papar pada 16 Julai dan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.


Laporan Qistina Nadia Dzulqarnain, Haspaizi Zain, Hariz Mohd, Dania Kamal Aryf



Source link