Pemuda Pakatan Harapan menempelak Adun Jeneri, Haim Hilman Abdullah kerana didakwa mengelirukan rakyat dengan angka yang bercelaru berhubung jumlah pelajar antarabangsa di universiti awam terkemuka negara.
Ketua Penerangannya, Ammar Atan berkata Haim Hilman – yang juga exco Kedah – wajar memohon maaf susulan dakwaan bahawa 27 peratus pelajar di lima universiti awam teratas Malaysia terdiri daripada bukan warganegara.

“Hakikatnya, dakwaan itu palsu. Data rasmi tahun 2024 menunjukkan hanya 21 peratus, iaitu 38,388 daripada 180,024 pelajar di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Putra Malaysia pelajar antarabangsa.
“Angka ini jauh lebih rendah berbanding 27 peratus seperti yang diputar belitkan oleh Haim Hilman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ammar, lebih mengejutkan apabila kenyataan itu keluar daripada mulut bekas naib canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) yang sepatutnya lebih arif tentang data pendidikan tinggi.
‘Diam masa naib canselor, bising bila jadi Adun‘
Pemuda PH turut mengingatkan bahawa ketika PAS bersama kerajaan persekutuan pada 2022, enrolmen pelajar asing di lima universiti berkenaan berjumlah 17 peratus – tidak jauh beza dengan kadar semasa.
“Peliknya, ketika (menjadi naib canselor) pada tahun tersebut, Haim Hilman tidak pernah membangkitkan apa-apa tentang ‘masalah’ ini.

“Mengapa baru sekarang?” soal Ammar.
Jelasnya, universiti penyelidikan memang menampung lebih ramai pelajar antarabangsa kerana majoritinya berada di peringkat pasca-siswazah (Sarjana dan PhD) yang berteraskan penyelidikan.
Data rasmi 2024 menunjukkan 74 peratus pelajar antarabangsa di universiti awam adalah di peringkat pasca-siswazah, manakala keseluruhan pelajar Malaysia tetap mendominasi dengan 558,476 orang berbanding hanya 53,322 pelajar antarabangsa.
B40 tetap jadi keutamaan
Pemuda PH juga menyangkal naratif bahawa pelajar tempatan terpinggir. Menurut Ammar, lebih 108,000 atau 60 peratus daripada keseluruhan pelajar di lima universiti awam teratas adalah daripada kelompok B40.
“Kerusi untuk pelajar tempatan pun meningkat 44,243 dalam tempoh 2015 hingga 2024, berbanding kenaikan hanya 26,917 bagi pelajar antarabangsa. Jadi di mana logiknya anak muda Malaysia dipinggirkan?” soalnya.

Tambah Ammar, malah kemasukan pelajar antarabangsa membantu meningkatkan daya saing akademik. Ia juga membuka jaringan global dan menaikkan ranking dunia universiti tempatan.
Universiti Malaya, umpamanya kini menduduki tangga ke-58 QS World University Rankings 2026, sebahagiannya disumbangkan oleh kadar pengantarabangsaan.
Terdahulu, Haim Hilman mencetuskan kontroversi di Dewan Undangan Negeri Kedah dengan mendakwa 27 peratus pelajar di lima universiti awam utama negara adalah pelajar asing.
Dakwaannya menimbulkan kebimbangan kononnya peluang anak tempatan semakin berkurangan.