Seorang Adun PAS Selangor hari ini mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat kepada Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, berhubung dakwaan yang dibuatnya kepada ahli DAP berkenaan beberapa tahun lalu.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Mohd Shafie Ngah berkata, permohonan maaf itu dibuat “secara nyata” atas dakwaan melibatkan Syahredzan sebagai bukan seorang Muslim yang jujur, tidak taat beragama serta menyokong ideologi komunis.
“Saya mengakui bahawa kenyataan-kenyataan tersebut adalah secara penuhnya tidak benar, tidak berasas dan secara keselurhannya tidak mempunyai sebarang merit.
“Saya amat kesal dalam membuat atau menyebabkan penerbitan kenyataan-kenyataan tersebut serta secara penuh menyedari kecederaan, distres dan kerosakan reputasi yang disebabkan oleh tindakan-tindakan saya kepada YB Syahredzan,” katanya dalam kenyataan terbuka hari ini.
Mohd Shafie yang juga Adun Sungai Ramal membuat permohonan maaf itu atas kenyataan dibuatnya di platform Facebook Live pada 25 Okt 2022, serta antara 8 Julai 2023 hingga 12 Julai 2023.
Syahredzan – yang juga seorang peguam – mengemukakan saman ke atas Mohd Shafie selepas Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor itu gagal memenuhi tuntutan yang dibuat ekoran kenyataan dikeluarkan itu.
Saman berkenaan difailkan Syahredzan pada Julai 2023 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Tiada pertikaian peribadi lagi
Melalui saman fitnah itu Syahredzan antara lain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, permohonan maaf dan perintah untuk menghalang Mohd Shafie daripada terus mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang memfitnah
Mohd Shafie sempat mengumumkan dalam hantaran di media sosialnya ketika itu bahawa dia akan berlawan di mahkamah.
“Ini perhitungan melibatkan ideologi – PAS dan DAP. Selagi nyawa dikandung badan, saya lawan sampai mati,” katanya pada 16 Ogos 2023.

Dalam kenyataan permohonan maaf hari ini, Mohd Shafie berkata, dia menarik balik sepenuhnya kenyataan yang dibuat ke atas Syahredzan secara tanpa syarat dan memberikan aku janji untuk tidak membuat kenyataan bersifat fitnah lagi
“Saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap tindakan-tindakan saya dan secara komited untuk memastikan saya akan bertindak dengan lebih berhati-hati, hormat dan berintegriti pada masa depan,” katanya.
Tambah Mohd Shafie kedua-dua pihak hadir di mahkamah pada 22 Sept lalu bagi mengesahkan persetujuan berkenaan.
Sementara itu Syahredzan berkata permohonan maaf Mohd Shafie turut akan disiarkan dalam dua akhbar nasional.
“Dengan penyelesaian ini, dan apabila terma-terma penyelesaian dipatuhi sepenuhnya, sewajarnya tidak ada pertikaian peribadi lagi di antara saya dengan YB Ustaz Shafie,” katanya.
Syahredzan diwakili peguam Daniel Albert, Nicholas Yap dan Amanda Yap dari firma Daniel & Wong.






