Malaysia Oversight

Adun Melalap gagal rayuan akhir, kekal jalani hukuman penjara 3 tahun

By MkiniBM in August 20, 2025 – Reading time 4 minute
Adun Melalap gagal rayuan akhir, kekal jalani hukuman penjara 3 tahun


Bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah, Peter Anthony, gagal dalam permohonan semakan sabitan bersalah dan hukuman penjara tiga tahun kerana pemalsuan dokumen, selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya hari ini.

Keputusan itu juga menyebabkan kedudukan Peter sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri () Melalap, terbatal.

Panel hakim – diketuai oleh Azman Abdullah bersama Noorin Badaruddin dan Hayatul Akmal Abdul Aziz – sebulat suara memutuskan bahawa tiada keperluan untuk mengganggu keputusan mahkamah rayuan terdahulu dan mahkamah lain terhadapnya.

“Kami mendapati tiada ketidakadilan berlaku kerana (isu yang diketengahkan dalam permohonan) telah dihujahkan secara meluas di hadapan panel Mahkamah Rayuan sebelum ini.

“Ketiadaan isu ini dalam alasan penghakiman ringkas tidak bererti berlakunya ketidakadilan, kerana ia telah dijelaskan dalam alasan penghakiman penuh.

“Adalah sukar untuk menganggap isu ini tidak dipertimbangkan hanya kerana ia tidak dinyatakan atau dikomen dalam alasan penghakiman ringkas,” katanya.

Selain itu, menurut Azman, isu tersebut turut dihujahkan semasa prosiding rayuan Melalap itu.

“Andai kata kami diragui, ia disokong oleh alasan penuh panel sebelum ini, di mana isu itu dibincangkan secara teliti.

“Bukan tugas panel ini untuk mendengar isu melibatkan keterangan dan fakta yang telah diputuskan panel terdahulu.

“Kami dapati tiada ketidakadilan sehingga melanggar prinsip keadilan asasi kerana pemohon telah diberikan hak untuk didengar, dan kami tidak menemukan sebarang merit dalam permohonan ini.

Permohonan ini dengan itu ditolak,” katanya.

Laporan polis saksi

Isu berkenaan merujuk kepada laporan polis yang dibuat oleh saksi pendakwaan, Shukor Din, pada 9 Ogos 2018, yang mana dia mendakwa kenyataan bertulisnya di pejabat SPRM Kota Kinabalu pada 20 Julai 2017 adalah tidak benar dan bahawa dirinya berada di bawah tekanan ketika itu.

Shukor membuat laporan polis itu hampir setahun selepas dia memberi keterangan di mahkamah ketika perbicaraan berlangsung. Dalam laporannya, dia mendakwa perenggan terakhir dalam kenyataannya direka oleh pegawai penyiasat untuk mengaitkan Peter.

Kes pemalsuan itu berkaitan dengan tempoh ketika Peter menjadi pengarah urusan Syarikat Asli Jati Engineering Sdn Bhd, yang ketika itu dilantik melaksanakan kerja operasi dan penyelenggaraan bagi Fasa Mekanikal 2A di kampus UMS, Sabah pada 2014.

Pada 2022, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendapati Melalap itu bersalah kerana memalsukan surat daripada pejabat Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah berhubung kontrak penyelenggaraan bertarikh 9 Jun 2014. Dia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000.

Peter telah membayar denda dan memperoleh penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sehingga panel Mahkamah Rayuan – dipengerusikan Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim, Zaini Mazlan dan Azmi Ariffin – mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen dan memerintahkannya dipenjara pada 4 Mac tahun ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Kadzim Yahya, pada 5 Mac berkata status Peter sebagai Adun akan ditentukan selepas dia menggunakan semua saluran undang-undang untuk membatalkan sabitannya.

Apabila dihubungi selepas prosiding hari ini, Kadzim memberitahu Malaysiakini bahawa dia hanya akan mengulas mengenai status Adun Peter setelah peguamnya memaklumkan keputusan akhir Mahkamah Rayuan secara bertulis.

Bukti penting

Peguam Peter, Haniff Khatri Abdulla, mendakwa panel terdahulu tidak mempertimbangkan laporan polis yang dianggap sebagai bukti penting yang dikemukakan pada rayuan terakhir.

Katanya, pertimbangan mereka tidak dicerminkan dalam alasan penghakiman ringkas pada 4 Mac, tetapi kemudiannya dimasukkan dalam alasan penuh penghakiman yang diterbitkan pada 18 Ogos.

Ketiadaan pertimbangan itu dalam alasan ringkas, katanya, menyebabkan berlaku ketidakadilan terhadap Peter.

“Keadilan bukan sahaja mesti ditegakkan, tetapi juga mesti dilihat ditegakkan.

“Jika tiada alasan diberikan terhadap isu yang dihujahkan, ia dianggap seolah-olah tidak pernah didengar,” kata Haniff.

Dia menambah bahawa Mahkamah Rayuan mempunyai kewajipan untuk memberikan alasan terhadap keputusan itu.

Kegagalan panel terdahulu berbuat demikian, katanya, merupakan penafian jelas terhadap keadilan asasi, kerana mustahil untuk mengetahui sama ada hujah Peter telah dipertimbangkan secukupnya, khususnya mengenai bukti baharu itu.

Namun, dakwaan itu dibidas oleh timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, yang berhujah bahawa isu tersebut telah dibincangkan dan dihujahkan secara meluas semasa rayuan Peter di hadapan panel terdahulu.

“Eksibit ini ditemui oleh perayu (Peter) selepas kesnya selesai di Mahkamah Tinggi. Kami tidak menyembunyikan bukti ini.

“Kami berpendapat tiada pelanggaran prinsip keadilan asasi di sini, kerana semua pihak dibenarkan berhujah mengenai perkara ini ketika mereka memilih untuk mengemukakan eksibit tersebut sebagai bukti baharu (di hadapan panel terdahulu).

“Jangan paksa panel ini mendengar semula rayuan terhadap keputusan panel terdahulu.”

Keputusan panel terdahulu

Panel terdahulu, dalam alasan penuh penghakiman mereka, mendapati Shukor boleh mengekalkan apa yang dinyatakan dalam laporan polisnya semasa perbicaraan berlangsung.

“Jelas beliau tidak berbuat demikian. Sama ada beliau bercakap benar ketika mengaitkan perayu (Peter) sepatutnya diuji melalui soal balas, walaupun tanpa laporan polis.

“Kami tidak dapat bersetuju dengan hujah perayu bahawa beliau diprejudiskan kerana tidak dapat menyoal balas (Shukor) tanpa laporan polis itu.

“Tambahan pula, keputusan Mahkamah Sesyen tidak semata-mata bergantung kepada keterangan saksi tersebut.”

Panel itu juga berkata kesimpulan Mahkamah Sesyen yang mendapati Peter bersalah pada 2022 adalah berdasarkan bukti keadaan yang dikemukakan pihak pendakwaan semasa perbicaraan.



Source link