Insiden Jalur Gemilang dikibarkan terbalik di sebuah sekolah Cina di Port Dickson, Negeri Sembilan berpunca daripada kesilapan seorang pekerja yang merupakan individu berkeperluan khas.
“Saya telah bertemu dengan ahli lembaga pengelola dan guru besar, dan dimaklumkan bahawa pekerja tersebut adalah individu berkeperluan khas kerana dia adalah orang kurang upaya intelektual,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lukut, Choo Ken Hwa.

“Saya juga dimaklumkan bahawa bendera tersebut telah segera diturunkan sebaik sahaja pihak sekolah menyedari kesilapan itu,” katanya kepada The Star.
Sekolah berkenaan, SJKC Chung Hua, sebelum ini membuat permohonan maaf berhubung insiden pada 1 Ogos itu.
Dalam satu kenyataan bersama oleh pihak lembaga pengelola, pentadbiran sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), mereka memaklumkan bahawa kesilapan itu berlaku ketika proses pemasangan bendera.
“Namun, akibat kecuaian, salah satu bendera telah dipasang secara terbalik. Insiden ini dirakam oleh orang awam dan dimuat naik ke media sosial.
“Pihak sekolah menerima maklumat itu sekitar jam 5 petang dan telah mengambil tindakan pembetulan dengan segera,” menurut kenyataan tersebut.
Walaupun permohonan maaf telah dibuat, kecaman terhadap insiden tersebut masih berterusan. Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, dengan lantang menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Maslan Udin, mengesahkan bahawa seorang suspek berusia 30 tahun telah dikenal pasti berhubung kes tersebut.
“Bendera tersebut telah diturunkan pada hari yang sama dan kami berharap orang ramai berhenti menyebarkan gambar kejadian,” katanya.
Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan mengikut empat peruntukan undang-undang berikut:
-
Seksyen 504 Kanun Keseksaan – Melibatkan penghinaan dengan niat untuk mennggangu keamanan atau kesalahan lain; boleh dihukum penjara hingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya.
-
Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 – Melarang penggunaan tidak sah lambang atau nama dilindungi; hukuman boleh mencecah denda RM20,000, penjara tiga tahun, atau kedua-duanya.
-
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 – Mengharamkan penyebaran kandungan yang jelik atau palsu dengan niat untuk mengganggu, menghina, atau menyakitkan hati; boleh dikenakan denda dan hukuman penjara.

Ini merupakan kes kelima melibatkan insiden bendera kebangsaan dalam beberapa bulan kebelakangan ini — termasuk satu kes melibatkan Kementerian Pendidikan sendiri. Kementerian berkenaan berikrar untuk mengambil tindakan tegas terhadap insiden terbaharu ini.