Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh menempelak MCA, susulan kenyataan presidennya, Wee Ka Siong yang semalam mendakwa seorang pelajar cemerlang tidak menerima tawaran ke program pengajian perakaunan di Universiti Malaya walaupun memperoleh keputusan yang baik.
Sehubungan itu, Adun Merlima dan exco kerajaan negeri Melaka itu berkata, Wee perlu memohon maaf kerana mencemarkan nama baik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Bila baca kenyataan awal dari YB (Wee) saya pun terasa kesian kenapa adik yang dapat keputusan yang baik ini tidak dapat tawaran belajar seperti yang diidamkan
“Tetapi akhirnya cerita yang sebenar adalah adik ini bukan tidak pandai,memang dia pandai,tetapi ada lebih ramai yang sangat pandai dan layak berbanding adik ini,” ” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Menurut Akmal, pelajar berkenaan mendapat merit 99.9 peratus tetapi hakikatnya ada lebih ramai pelajar Malaysia yang dapat merit 100 peratus dan tempat adalah terhad di Universiti Malaya.
“Apabila YB menyalahkan sistem yang sudah rosak, saya menganggap itu adalah satu tuduhan yang tidak patut dan mencemarkan nama baik KPT.
“Kita mendesak supaya YB dapat menyatakan permohonan maaf kepada KPT yang saya berasakan penjawat awam mereka sudah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sangat baik tanpa ada rasa prejudis kepada mana-mana golongan dan itulah yang diterapkan kepada penjawat awam kita.
“Kalau malu nak minta maaf secara terbuka, YB jumpalah Menteri Pendidikan Tinggi dan minta maaf ya,” katanya.

Semalam, Wee yang juga ahli Parlimen Ayer Hitam mendakwa Edward Wong seorang pelajar cemerlang STPM dengan purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.0 dinafikan peluang untuk menyambung pengajian ke program perakaunan di UM.
Menguls lanjut, Akmal turut melampirkan kenyataan media KPT bahawsa proses pemilihan pelajar ke universiti awam adalah berasaskan prinsip meritokrasi sepenuhnya sekali gus menolak dakwaan wujud kelompongan dalam sistem UPUOnline.
Dalam kenyataan itu Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Azlinda Azman berkata daripada 109,866 permohonan yang layak, sebanyak 78,883 orang atau 71.8 peratus telah ditawarkan tempat di peringkat ijazah sarjana muda bagi sesi 2025/2026.
Ia menyebut Edward sebenarnya memiliki merit 99.9 peratus, namun persaingan sengit berlaku apabila terdapat lebih ramai pelajar memperoleh merit 100 peratus sedangkan kapasiti tempat adalah terhad.
Calon itu dikatakan berada di kedudukan 1,129 dan UM hanya menyediakan 85 tempat untuk diisi.
Sebelum ini, pelbagai phak menentang keras cara pengambilan kemasukan ke universiti awam dengan mendakwa pelajar STPM dipinggirkan walaupun mereka melalui laluan lebih sukar berbanding program matrikulasi dan program lain.