Warisan, mempersoalkan jika dua Adun yang dihadapkan ke mahkamah berhubung skandal rasuah di negeri itu merupakan “kambing hitam” bagi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Membangkitkan persoalan itu, Ketua Penerangan Warisan Azis Jamman berkata dia yakin kedua-duanya dijadikan “kambing hitam” untuk memberi gambaran yang skandal tersebut sedang ditangani.
“Apa yang membezakan dua wakil rakyat yang didakwa ini dengan yang lain?” soalnya dalam satu podcast pada 7 Ogos lalu.
Azis merujuk bukti yang didedahkan oleh ahli perniagaan, Albert Tei, yang dikatakan mengaitkan enam lagi Adun lain, dan telah diserahkan kepada SPRM.
Pada 5 Ogos lalu, Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee turut membangkitkan persoalan sama dengan mendakwa wujud pendakwaan terpilih.
Ahli Parlimen Beluran itu berkata berbeza dengan enam yang lain, kedua-dua Adun yang didakwa tidak memegang jawatan tinggi dalam parti.
Pada 30 Jun lalu, Tei mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi rasuah di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.

Dia didakwa merasuah Pembantu Menteri Pembangunan, Perindustrian dan Keusahawanan, Andi Suryady Bandy dan Adun Sindumin, Yusof Yacob bagi mendapatkan bantuan lesen penerokaan mineral.
Mengulas lanjut, Azis berkata kerajaan persekutuan, SPRM dan Pejabat Peguam Negara (AGC) masih belum menjelaskan mengapa enam Adun lain tidak didakwa.
“Kalau saya jadi dua orang ini, pasti saya akan marah (dan persoal) ‘kenapa kami saja? Makan (rasuah) sama-sama, yang dihukum kami berdua saja’.
“Saya bukan mahu batu api…saya melihat dua orang ini sebagai kambing hitam, asal (ada yang ) didakwa, cukuplah,” katanya lagi.
Andi – yang juga Ahli Parlimen Kalabakan – didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Yusof pula merupakan Pengerusi Qhazanah Sabah Bhd dan didakwa menerima wang tunai RM200,000 daripada Tei di sebuah bar atas bumbung Hotel Hilton di Kota Kinabalu pada 6 Mac 2023.
Suapan itu didakwa bertujuan membantu memproses lesen cari gali untuk syarikat Nusa Kini Sdn Bhd.
Sebelum ini, Tei turut mendedahkan lebih banyak bukti sebelum perbicaraan di mahkamah, yang didakwa mengaitkan enam lagi ahli politik dalam skandal tersebut.
Mereka yang dikaitkan termasuk pemimpin tertinggi Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) – kedua-duanya merupakan komponen utama gabungan pemerintah GRS.
Presiden Star Jeffrey Kitingan dan Timbalan Presiden PBS Jahid Jahim telah menafikan dakwaan terhadap mereka.