PUTRAJAYA: Pasangan sensasi, Bella Astillah dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sekali lagi mencuri tumpuan apabila berjaya membawa pulang trofi kategori Selebriti Couple Goals Terhangat pada Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025 yang berlangsung meriah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikanmereka sebagai pasangan selebriti yang paling mendapat perhatian peminat, mengatasi nama-nama popular lain termasuk Nabil Mahir dan Ayda Jebat, Fattah Amin dan Amira Othman, Aidil Aziz dan Fasha Sandha, serta Dini Schatzmann dan Janna Nick.
Mengulas kemenangan tersebut, Bella yang kelihatan terharu dengan sokongan peminat berkata, kejayaan itu adalah rezeki buat dirinya dan Syed Saddiq.
“Terima kasih kepada Melodi dan TV3. Saya percaya ramai akan kata pasangan yang sudah berkahwin lebih layak menang. Tetapi, ini rezeki kami dan saya amat menghargai setiap undian peminat.
“Tanpa anda semua, kami tidak mungkin berada di atas pentas ini. Harapnya semua ambil yang baik sahaja daripada kemenangan ini,” katanya.
Syed Saddiq yang berdiri di sisi Bella turut berkongsi rasa gembira sambil berseloroh bahawa dirinya hanyalah watak sampingan di sebalik kemenangan itu.
“Dia (Bella) adalah seorang wanita luar biasa dan tabah. Saya bangga berdiri di pentas ini bersamanya,” katanya.
Selain itu, Bella sekali lagi menegaskan bahawa fokus mereka hanyalah untuk memberi contoh yang positif kepada masyarakat.
“Kami bersyukur kerana ramai yang menyokong dan ambil berat tentang kami. Sebenarnya, semua pasangan yang tercalon jauh lebih ‘sweet’ daripada kami.
“Saya anggap kemenangan ini sebagai satu perkara positif kerana apa yang kami usahakan, termasuk kerjasama dengan pelbagai jenama, diharapkan dapat memberi impak yang baik,” katanya. -UTUSAN