Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mendedahkan wujud usaha pihak tertentu dalam parti itu yang mengutip tandatangan bagi menjatuhkannya sebagai presiden.
Dia menegur tindakan berkenaan yang disifatkan bercanggah dengan perlembagaan parti yang seharusnya dipatuhi oleh semua ahli.
“Katanya ada orang kutip tandatangan untuk jatuhkan presiden. Ini tindakan yang bercanggah dengan perlembagaan parti.
“Kalau presiden dijatuhkan melalui kutipan tandangan, semua yang ada (kepimpinan) di atas pentas ini pun boleh dijatuhkan melalui cara yang sama.

“Ingat, parti kita ini ada perlembagaannya. Ada peraturannya.
“Patuhilah perlembagaan parti kalau kita mahu parti kita ini tertib, elok, rukun dan damai,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu di Shah Alam, malam ini.
Kenyataan Muhyiddin dipercayai merujuk kepada kemelut dalaman parti menjelang PAT Bersaty.
Sebelum ini, Ketua Bersatu Hang Tuah Jaya, Mohd Azrudin Md Idris mendedahkan mengenai penyebaran surat layang yang memburukkan Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainuddin.

Menurutnya, surat layang itu tular melalui beberapa kumpulan WhatsApp Bersatu menggunakan nombor telefon tempatan dan juga dari Thailand.
Berdasarkan surat berkenaan yang dilihat Malaysiakini, penulisnya menuduh Hamzah mempunyai agenda untuk menjatuhkan Muhyiddin.
Sementara itu, Muhyiddin menegaskan perpaduan kunci utama kejayaan serta kelangsungan mana-mana parti politik.
Katanya, dengan adanya perpaduan dalam kalangan pemimpin dan ahli, parti dapat menumpukan perhatian kepada usaha menyantuni rakyat, melaksanakan amanah perjuangan serta memperhebat gerak kerja menghadapi pilihan raya.
“Saya ingin mengingatkan bahawa banyak parti yang dahulunya besar dan gah, tetapi rebah apabila parti berpecah. Kita jangan ulangi kesilapan parti lain.
“Perpaduan di dalam parti hanya akan terbina apabila semua ahli faham perjuangan parti serta sayang dan cintakan parti,” katanya lagi.