Malaysia Oversight

Ada cuba mendekati tapi… Rata-ratanya perut ke depan!

By Utusan in August 3, 2025 – Reading time 2 minute
Ada cuba mendekati tapi... Rata-ratanya perut ke depan!


Empat kali gagal perkahwinan tidak pernah menghadirkan rasa serik dalam diri produser, Datuk A. Aida untuk berteman lagi.

Namun, selepas bercerai dengan pelakon Ariff Aziz pada tahun 2019, penerbit cantik ini kelihatannya terus memegang status ibu tunggal sampai ke hari ini.

Mungkinkah pemilik nama sebenar Zaidah Awang ini selesa hidup solo, tidak memerlukan kehadiran lelaki dalam hidupnya.

Ataukah hatinya masih terbuka dan menantikan kedatangan Mr. Right yang belum kunjung tiba. Datuk… jawablah!

Sebelum ini Datuk pernah kongsikan yang Datuk sedang didekati seseorang, apa perkembangannya sekarang?
Itulah masalahnya. Berbulan-bulan juga saya berikan kepadanya masa. Tetapi perutnya masih ‘sembilan bulan’ (gemuk). Jadi, selamat jalanlah.

Nampaknya Datuk ini cukup cerewet juga dalam memilih teman?
Memang ramai yang sifatkan saya ini terlalu memilih dalam mencari pasangan.
Terus terang saya katakan, dalam mencari pasangan , rupa paras yang saya utamakan, kemudian fizikalnya.
Kalau tidak berbadan tegap atau ‘sado’, maka selamat jalanlah.

Tapi tak akanlah yang cuba mendekati Datuk tak ada yang menepati kriteria?
Memang ramai lelaki yang cuba mendekati, tetapi tidak menepati cita rasa. Kebanyakannya perut sembilan bulan. Tak mahulah saya!

Tetapi harta, kekayaan dan rupa paras tidak menjanjikan kebahagiaan, betulkah Datuk?
Memanglah tidak ada lelaki sempurna rupa parasnya. Tapi itulah yang saya utamakan.
Yang menemani saya ke acara karpet merah nanti tak akanlah dalam kalangan lelaki perut ke depan (buncit).
Kalau begitu, eloklah saya berjalan di karpet merah seorang diri.

Jadi, kepada yang menaruh hati, haruslah yang kacak dan ‘kaki’ bersenam ya Datuk?
Begitulah. Sebelum ini, ada juga hartawan berstatus duda, pemilik jet peribadi yang berhasrat memperisterikan saya.
Tapi saya tolak. Biarlah kaya raya, ada jet peribadi semua. Kalau saya tidak suka, tetaplah tidak.

Bagaimana pula dengan lelaki ‘hidung belang’? Adakah yang cuba mengambil kesempatan?
Sepanjang berkecimpung bidang ini penerbitan ini, memanglah ramai lelaki gatal yang saya jumpa. Dalam kalangan yang bergelar ustaz pun ada, berani mengambil kesempatan meraba belakang saya.
Tapi itulah. Ustaz, guru, artis atau sesiapa pun juga, semua manusia biasa. Kalau perangai tidak elok, maka tidak eloklah dia.





Source link