PARLIMEN | Putrajaya disarankan memberikan insentif RM500 kepada petugas terdiri daripada kakitangan awam termasuk anggota polis dan tentera yang dikerah dalam menjayakan kelangsungan Sidang Kemuncak Asean ke-47.
Perkara itu dilontarkan Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN – Tanah Merah) yang menyifatkan tenaga dan masa mereka yang bertugas itu perlu dihargai sama ada tugas tersebut kecil ataupun besar.
Menurutnya, pihaknya dimaklumkan bahawa petugas-petugas sidang Asean ini sudah mula bertugas seawal dua minggu lalu termasuk urusan pentadbiran diri dan sesi raptai persembahan utama selain daripada pembahagian tugas dan juga peranan-peranan berkaitan.
“Saya dimaklumkan mengenai penglibatan setiap lapisan penjawat awam daripada pelbagai skim dan gred iaitu dari peringkat jawatan pembantu pejabat, kepada jawatan kerani termasuk juga penjawat awam lain yang telah dikerah untuk menjayakan sidang kemuncak Asean ke-47.
“Ini sempena kefungsian Malaysia dalam Asean dan penghormatan ini cuma mampu dirasai bagi setiap 10 tahun, kerana kita menjadi pengerusi untuk kali ini.
“Anggota tentera sebagai contoh, juga telah mula berkampung di kem-kem transit seluruh Kuala Lumpur yang kebanyakannya ini bertugas sebagai pengemudi kepada delegasi luar negara termasuk membantu pihak Polis memberikan kawalan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ikmal berkata, bagi menghargai penjawat awam yang bertugas secara langsung dalam menjayakan Sidang Kemuncak ASean ke-47 ini, pihaknya memohon perdana menteri atau ketua setiausaha negara (KSN) untuk mempertimbangkan sejumlah insentif khas sebanyak RM500 itu kepada semua petugas yang terlibat
“Saya berpandangan walaupun jumlah RM500 ini adalah kecil dalam situasi ekonomi pada hari ini, tetapi pemberian saguhati dan penghargaan kepada semua petugas Sidang Kemuncak Asean yang terlibat adalah wajar dan adil.
“Saya dimaklumkan ada di kalangan cikgu sekolah yang bangun seawal jam tiga pagi untuk menyelaraskan sesi raptai kanak-kanak sekolah yang terlibat menjayakan persembahan dalam Sidang Kemuncak Asean kali ini.
“Sekiranya kerajaan bersetuju terhadap cadangan ini, ia akan memberikan sedikit motivasi dan kegembiraan kepada segenap lapisan perkhidmatan kerajaan yang bukan hanya terhad kepada cikgu, tetapi juga anggota tentera, polis, petugas kesihatan, pemandu, pembantu pejabat, dan sudah tentu sebahagian besar daripada warga Wisma Putra termasuk pegawai kontrak kerajaan daripada kementerian-kementerian lain yang digembleng dan kini sedang bertungkus-lumus memastikan kejayaan acara sekali gus menjaga nama baik Malaysia selaku pengerusi Asean ke-47,” katanya.

Ikmal yang juga bekas timbalan menteri pertahanan berkata, dia turut dimaklumkan ada pegawai dan kakitangan yang bertugas sebagai selaku sekretariat utama Asean sudah hampir dua minggu tidak bertemu ahli keluarga dan terpaksa berkampung di hotel sekitar KLCC sebagai komitmen jitu mereka menjaga nama baik negara menjayakan acara ini.
“Saya telah congak dan kira, sekiranya jumlah petugas adalah seramai 5,000 orang, maka kerajaan hanya perlu membelanjakan sebanyak RM2.5 juta sahaja bagi pelaksanaan cadangan pemberian insentif khas yang dicadangkan ini.
“Saya mohon perdana menteri dan juga KSN ataupun ketua setiausaha perbendaharaan untuk mempertimbangkan cadangan ini,” tambahnya lagi.
Laporan oleh N Faizal Ghazali, Zarrah Morden, Dania Kamal Aryf






